ATM A Juarai Play-Off, 8 Pasukan Lengkapkan Slot Grand Final
January 11, 2015Hanelang A Tutup Tirai Grand Final STL Penuh Sensasi
January 19, 2015KUALA LUMPUR (17 JANUARI 2015): Pasukan Bukit Putra diterajui pemain kebangsaan, Ahmad Aizat Noor Azmi menampilkan aksi bertenaga untuk memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan mengesahkan kemaraan ke suku akhir Grand Final SepakTakraw League (STL) 2014/15 dengan penuh bergaya.
Bukit Putra yang telahpun mengesahkan kemaraan selepas dua kemenangan ke atas ATM ‘F’ dan Gabungan Sepaktakraw Teluk Paku (GASTEP) ‘B’ bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 12-21, 21-16, 21-12 ke atas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada perlawanan terakhir kumpulan dan mara ke peringkat kalah mati, selaku juara Kumpulan B, diiringi GASTEP ‘B’ selaku naib juara.
“Ini antara aksi terbaik kita di STL selepas final pusingan kelima tempoh hari, kita diheret beraksi di set penentuan dalam dua perlawanan terakhir dan pemain menunjukkan mental yang cukup kuat untuk menewaskan lawan yang bukan calang-calang. Saya gembira pemain bermain mengikut arahan, memperbaiki kesilapan dengan pantas dan saya yakin kita boleh melangkah jauh jika rentak sebegini dikekalkan,” ujar jurulatih Bukit Putra, Rosli Rahman.
GASTEP ‘B’ yang ditunjangi apit kiri kebangsaan, Muqlis Borhan pula mara selepas dua kemenangan ke atas MPSJ dan ATM ‘F’ tatkala harapan MPSJ untuk menyerlahkan taring sebenar di pusingan Grand Final tidak kesampaian apabila pasukan itu muncul pasukan pertama tersingkir di peringkat kumpulan.
Meskipun diperkuatkan gandingan pemain dan bekas pemain kebangsaan seperti Idham Sulaiman, Hanafiah Dollah, Syazwan Dahlan, Arif Busu dan Aznan Raslan, MPSJ gagal menterjemahkan prestasi menepati reputasi apabila tewas 17-21, 8-21 kepada GASTEP ‘B’ dan kemudiannya tunduk kepada ATM ‘F’ dengan kekalahan 13-21, 18-21.
Pengurus pasukan, Mohd Adha Md Shah jelas terkilan dengan kegagalan pasukannya apatah lagi MPSJ turut dilabel sebagai salah satu pasukan tumpuan di Grand Final.
“Memang mengecewakan. Pemain-pemain kami telah melakukan yang terbaik tetapi pasukan lawan beraksi dengan lebih baik dan bukan rezeki kami kali ini untuk melangkah lebih jauh. Kita akan tetapkan fokus untuk kembali berlatih dan melihat kelemahan yang perlu diatasi. Ada banyak lagi kejohanan dalam kalendar PSM tahun ini, moga kami berupaya menyerlah semula selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, aksi peringkat kumpulan Grand Final STL yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan enam lagi pasukan mara melengkapkan kelompok lapan pasukan terakhir yang akan beraksi di suku akhir pada Ahad.
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881