
DASHING LANCAR BIASISWA BAKAT DASHING 2026 BAGI MENCUNGKIL BAKAT BOLA SEPAK MUDA DI SELURUH MALAYSIA
September 11, 2026Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 kembali dengan lebih meriah apabila sebanyak 108 pasukan sekolah dan kelab dari seluruh Malaysia bakal berentap dalam kejohanan ragbi yang menjadi antara acara utama dalam kalendar ragbi kebangsaan.
Karnival ini akan berlangsung selama tiga hari, dari 25 hingga 27 September 2026, bertempat di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin, Johor.
Karnival yang dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ini menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara dalam empat kategori utama iaitu Bawah 16 Tahun Lelaki, Bawah 14 Tahun Lelaki, Bawah 11 Tahun Lelaki dan Bawah 16 Tahun Perempuan.
Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan pasukan Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (THOR) dari Johor yang hadir dengan misi mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara berganda pada edisi terdahulu bagi kategori Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun Lelaki.
Kehadiran pasukan-pasukan berprofil tinggi dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak dijangka memberikan saingan yang lebih kompetitif, sekali gus memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti sukan ragbi di peringkat akar umbi.
Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Dato’ Hj Mohd Noorazam bin Dato’ Hj Osman, berkata penganjuran Karnival Ragbi Johor yang kini memasuki edisi ke-14 membuktikan bahawa kejohanan ini semakin kukuh sebagai salah satu platform penting dalam pembangunan sukan ragbi negara.
“Setelah 14 edisi berlangsung, Karnival Ragbi Johor telah menjadi antara acara yang penting dalam kalendar sukan ragbi di Malaysia. Penganjuran karnival ini juga selari dengan aspirasi
Kerajaan Negeri Johor, khususnya dalam Tahun Melawat Johor 2026, serta usaha untuk terus mengembangkan ekosistem ragbi di negeri Johor.
“Melalui penganjuran kejohanan seperti ini, kita dapat menyediakan platform yang lebih luas kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan pengalaman pertandingan, mencungkil bakat baharu serta memperkukuhkan pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.
“Harapan kami agar Karnival Ragbi Johor terus berkembang dan pada masa akan datang mampu menjadi salah satu karnival ragbi yang dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah turut berada dalam kalendar ragbi antarabangsa,” ujar beliau.
Penganjuran Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Dialog Group Berhad, JCORP Corporation, Safwa Global Venture Sdn Bhd, Nestlé (Malaysia) Berhad, Joland Group, Permodalan Darul Ta’zim, Iskandar Investment Berhad, Faiz Sports, Rugger District dan Arie Sportswear.
Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik, penaja, agensi kerajaan, sekolah, kelab dan komuniti ragbi amat penting dalam memastikan kelangsungan serta perkembangan Karnival Ragbi Johor sebagai sebuah platform pembangunan sukan ragbi yang berimpak tinggi.
Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mencungkil bakat muda, membina jaringan antara sekolah dan kelab, memperkukuhkan komuniti ragbi serta merakyatkan sukan ragbi di negeri Johor.
Dengan penyertaan 108 pasukan dari seluruh Malaysia, termasuk pasukan dari Sabah dan Sarawak, karnival yang berlangsung pada 25 hingga 27 September 2026 di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin ini dijangka menyajikan tiga hari aksi ragbi yang kompetitif, sengit dan penuh semangat kesukanan.





