Bukit Putra Gah, MPSJ Gagal Serlah Taring
January 18, 2015Malaysia Through To Semis
February 6, 2015KUALA LUMPUR (18 JANUARI 2015): Aksi kemuncak SepakTakraw League (STL) 2014/15 menutup tirai dengan Hanelang ‘A’ melakar cerita sensasi untuk menjuarai pusingan Grand Final setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘D’ pada perlawanan akhir.
Meskipun tidak diletakkan harapan tinggi, Hanelang ‘A’ yang diwakili trio bekas pelapis kebangsaan, Zulkifli Abdul Razak, Safarudin Abu Bakar dan Fadzli Roslan menampilkan aksi cemerlang untuk sekali lagi menewaskan PDRM ‘D’ – lawan sama yang ditewaskan pada peringkat kumpulan – dengan keputusan 21-13, 21-17.
Jurulatih Hanelang ‘A’, Ahmad Mohd Zin berkata, “Kami mengetepikan ramalan di atas kertas dengan pemain-pemain menunjukkan permainan bertenaga dan kurang melakukan kesilapan. Lawan banyak terkandas ketika membuat servis dan itu juga membantu kita mendapat mata. Pemain saya menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang permainan, ia kemenangan yang cukup manis.”
Hanelang ‘A’ yang mencuri tumpuan apabila mengejutkan dua pasukan pilihan, ATM ‘A’ (separuh akhir) dan Bukit Putra (suku akhir) dalam laluan ke final membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM20,000 dan lebih manis pemain mereka, Safaruddin Abu Bakar dinobatkan sebagai ‘feeder’ terbaik kejohanan.
PDRM ‘D’ ditunjangi bekas pemain kebangsaan, Normanizam Ahmad, Masran Rahman dan Azli Jamil yang menampilkan aksi hebat untuk merakamkan kemenangan penuh dramatik pada peringkat separuh akhir ke atas GASTEP ‘B’ pula membawa pulang RM15,000 selaku naib juara dengan Normanizam yang cukup dikenali sebagai regu emas Sukan Sea 2005 dinobatkan tekong terbaik kejohanan.
Pengurus PDRM ‘D’, DSP Kamarulzaman Yusoff mengakui faktor usia dan kepenatan adalah punca pasukannya gagal memberi tentangan sengit kepada lawan yang diperkuatkan tenaga muda.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik GASTEP ‘B’ diterajui bekas apit kiri kebangsaan, Muqlis Borhan yang menewaskan ATM ‘A’ dalam pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 21-13 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala ATM ‘A’ menerima RM5,000 – ‘killer’ ATM ‘A’, Sazali Saat pula dinobatkan sebagai ‘killer’ terbaik kejohanan.
Kesemua tekong, ‘feeder’ dan ‘killer’ terbaik kejohanan masing-masing menerima RM3,000 – hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang hadir menyaksikan perlawanan dengan diiringi oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Dato’ Ahmad Ismail.
Keputusan (Peringkat kalah mati):
SUKU AKHIR :
ATM ‘A’ mng Bentara-MAS 2-1 (15-21, 21-8, 21-9)
Hanelang ‘A’ mng Bukit Putra 2-1 (21-16, 16-21, 21-11)
PDRM ‘D’ mng RISDA 2-0 (22-20, 21-11)
GASTEP ‘B’ mng Jaguh Kampung Penang ‘A’ 2-0 (21-18, 21-16)
SEPARUH AKHIR :
Hanelang ‘A’ mng ATM ‘A’ 2-1 (21-12, 16-21, 21-17)
PDRM ‘D’ mng GASTEP ‘B’ 2-1 (25-24, 13-21, 21-18)
TEMPAT KETIGA :
GASTEP ‘B’ mng ATM ‘A’ 2-1 (21-19, 16-21, 21-13)
AKHIR :
Hanelang ‘A’ mng PDRM ‘D’ 2-0 (21-13, 21-17)
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881