ATM idam Dominasi Play-off Tatkala STL Hampiri Kemuncak Aksi
January 9, 2015PBG, ATM ‘A’ mara ke aksi akhir play-off
January 11, 2015KUALA LUMPUR (10 JANUARI 2015): Setelah dikecewakan RISDA pada perlawanan akhir pusingan kelapan (Zon Tengah) minggu lalu, Kerinchi Club ‘B’ bangkit menebus hampa apabila mempamer aksi bertenaga untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan Grand Final SepakTakraw League (STL) yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Januari depan.
Kerinchi Club, bersama-sama empat lagi pasukan iaitu Petronas Batu Gajah, Bentara Mas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ‘A’ dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) muncul lima pasukan terawal untuk mengesahkan kemaraan menerusi pusingan play-off di Stadium Tertutup Titiwangsa selepas masing-masing menang dua perlawanan pertama.
Jurulatih Kerinchi Club, Yasir Arafad berkata pemainnya tekad mahu menebus episod duka setelah mempamer aksi longlai pada perlawanan akhir minggu lalu yang menyaksikan mereka berputih mata tewas mudah dengan keputusan 5-21, 18-21 kepada RISDA.
“Kita berjaya bangkit, kekalahan minggu lalu satu igauan buruk kerana pemain-pemain tahu itu bukan permainan sebenar mereka dan mereka boleh beraksi lebih baik. Masing-masing bersemangat tinggi mahu beraksi di Grand Final namun tugasan di sini (play-off) masih belum selesai. Kita perlu lakukan yang terbaik di suku akhir esok agar mendapat ‘seeding’ yang lebih baik apabila beraksi di Grand Final,” jelas Yasir.
Kerinchi Club mengesahkan kemaraan ke Grand Final selepas menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 21-18, 22-20 dan Mahsuri Pulau Pinang 21-15, 22-20.
Bagi jurulatih ATM, Aswadi Abdullah, meskipun hasratnya menyaksikan kesemua empat regu ATM layak ke Grand Final tidak tercapai apabila ATM ‘D’ dan ATM ‘E’ kedua-duanya tersingkir, beliau tetap berpuas hati melihat ATM ‘A’ mara mengiringi ATM ‘F’ yang sudahpun layak ke Grand Final selaku juara pusingan kedua STL.
“Kejayaan ATM ‘A’ bermakna kini kita ada dua wakil di Grand Final. Walaupun kita bermula dengan agak goyah apabila tewas set pertama kepada Infratel, saya pesan kepada mereka untuk tidak leka dan kurangkan kesilapan, dan saya gembira mereka bermain mengikut arahan dan menunjukkan kesungguhan tinggi,” ujar Aswadi.
Sementara itu, MPSJ yang diperkuatkan ‘killer’ kebangsaan, Hanafiah Dollah layak setelah menewaskan ATM ‘E’ dan Infratel ‘A’ manakala PBG dan Bentara Mas layak dari Kumpulan A setelah kedua-duanya menewaskan BK Deqma dan ATM ‘D’.
Kesemua aksi peringkat kalah mati (suku akhir, separuh akhir, akhir) akan berlangsung pada Ahad.
JADUAL:
PLAY-OFF: Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan, 2015.
GRAND FINAL – Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 17-18 Jan, 2015.
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881