OCM Celebrates Diamond Jubilee with Malaysian International Marathon
January 8, 2015Kerinci Club Tebus Hampa
January 10, 2015KUALA LUMPUR (9 JANUARI 2014): Selepas gagal untuk merebut tiket automatik beraksi di Grand Final, pusingan play-off menjadi talian hayat terakhir bagi 16 pasukan yang akan berentap di Stadium Tertutup Titiwangsa hujung minggu ini untuk muncul lapan pasukan terakhir melayakkan diri ke pusingan Grand Final SepakTakraw League (STL).
Sepertimana pusingan awal sebelum ini, 16 pasukan, masing-masing naib johan dan pemenang tempat ketiga di setiap pusingan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan perlu beraksi dalam format ‘round-robin’ dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke Grand Final.
Saingan pusingan awal yang menutup tirai hujung minggu lalu menyaksikan RISDA selaku juara pusingan kelapan (Zon Tengah) muncul pasukan terakhir untuk layak secara automatik ke Grand Final, mengiringi Mazatech ‘A’, ATM ‘F’, Bukit Putra, Bukit Putra ‘C’, InstaPutra, Jaguh Kampung Penang ‘A’ dan PDRM ‘D’.
Mendahului cabaran 16 pasukan kali ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang mempunyai empat wakil iaitu ATM ‘A’, ATM ‘C’, ATM ‘D’ dan ATM ‘E’ diikuti Infratel ‘A’, Warisan AZ ‘A’, Mahsuri Pulau Pinang, PDRM ‘C’, PKNS, Hanelang ‘A’, GASTEP ‘B’, BK Deqma, Petronas Batu Gajah, MPSJ, Kerinchi Club ‘B’ dan Bentara Mas.
Meskipun sudah mempunyai satu wakil di Grand Final, ATM tetap berhasrat untuk mendominasi pusingan play-off dan memastikan lebih ramai wakil mereka membawa cabaran di Grand Final yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM50,000.
“Kami sudah ada satu wakil di Grand Final, dan kami ada 4 wakil di play-off, kalau boleh saya mahu semua regu saya layak beraksi di Grand Final. Tetapi kita sedar setiap pasukan yang bertanding ada kelebihan dan kekuatan masing-masing jadi kita tidak boleh pandang rendah mana-mana pasukan. Pemain-pemain saya telah menunjukkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan pusingan awal dan saya yakin mereka akan dapat berikan aksi yang lebih baik di pusingan play-off ini,” ujar jurulatih ATM, Aswadi Abdullah.
Bagi jurulatih PDRM ‘C’, Kamarul Azri, beliau optimis satu daripada lapan slot akan menjadi milik pasukannya sekaligus menjadikan dua wakil PDRM di Grand Final.
“Saya tidak nampak alasan kita tidak boleh melangkah jauh seandainya pemain-pemain menunjukkan disiplin dan komitmen sama yang membolehkan kami layak ke perlawanan akhir pusingan keempat. Sasaran awal kita adalah untuk berada di kelompok lapan terbaik dan InshaAllah kita boleh lakukannya,” kata Kamarul.
STL yang dilancarkan pada November tahun lalu, berlangsung sebanyak lapan pusingan awal – masing-masing dua pusingan di Terengganu, Kedah, Johor dan Melaka sebelum pusingan play-off dan Grand Final berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.
JADUAL:
PLAY-OFF: Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan, 2015.
GRAND FINAL – Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 17-18 Jan, 2015.
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881