JKPA dan GASTEP B ulangi permusuhan di atas gelanggang
December 21, 2014Bukit Putra C muncul juara pusingan ketujuh STL
December 28, 2014MELAKA (27 DISEMBER 2014): Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mempunyai sebab untuk berbangga apabila SepakTakraw League (STL) – liga sepak takraw pertama negara – yang semakin menghampiri kemuncak menerima sambutan yang cukup menggalakkan sepanjang penganjurannya.
Dengan STL sudahpun menjengah gelanggang terakhir bagi dua pusingan seterusnya iaitu Melaka, Presiden PSM, Dato’ Ahmad Ismail menjelaskan minat yang ditunjukkan generasi muda untuk terlibat di dalam sukan ini menjadi bukti betapa sukan tradisi tanah air itu belum ‘mati’.
Ujarnya, “Sejak enam pusingan terdahulu, kita sudah lihat peningkatan demi peningkatan dari semua aspek. Bermula dari aspek penganjuran itu sendiri sehinggalah kepada kualiti pasukan yang bertanding semuanya ada penambahbaikkan. STL juga mendapat sambutan yang cukup hebat berbanding peringkat awal tempoh hari. Saya diberitahu masih ada banyak pasukan yang memohon mahu bertanding walaupun senarai sudah penuh untuk dua pusingan terakhir di Melaka.
“Saya gembira kerana kita berjaya membawa takraw dekat dengan rakyat melalui STL. Sokongan dari anak-anak muda ini dalam menaikkan lagi standard STL adalah bukti sukan takraw mempunyai masa depan yang cerah. Sudah tentu ini akan menjadi antara medan bagi kita mencari lebih ramai pemain-pemain yang bagus seperti Hanafiah Dollah, Khairil Zaman dan Syahir Rosdi,” kata Dato’ Ahmad.
Mengulas mengenai kecemerlangan pemain kebangsaan di STL, Dato’ Ahmad berkata, “Ini adalah bukti bahawa pemain yang kita ada di kem kebangsaan ketika ini masih lagi yang terbaik, mereka bermain menepati reputasi mereka tetapi kita juga gembira untuk melihat ramai pemain luar dapat mengetengahkan bakat dan potensi mereka. Saya percaya nama pemain-pemain ini sudah berada dalam senarai pendek panel pemantau yang kita lantik agar bakat mereka tidak disia-siakan.”
Selepas dua pusingan masing-masing di Terengganu, Kedah dan Johor, giliran Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Serindit pula menjadi tuan rumah pusingan ketujuh dan kelapan bermula pada 27-28 Disember dan berakhir 3-4 Januari depan.
Sementara itu, saingan pusingan ketujuh yang membuka tirai pada Sabtu, menyaksikan 16 regu bersaing secara ‘round-robin’ untuk mencari 8 slot beraksi di suku akhir – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Hanafiah Dollah dan Idham Sulaiman muncul pasukan pertama layak ke suku akhir setelah menang kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Kesemua aksi peringkat kalah mati (suku akhir, separuh akhir dan akhir) akan berlangsung pada Ahad – juara akan mengiringi Mazatech ‘A’, ATM ‘F’, PDRM ‘D’, InstaPutra, Bukit Putra dan Jaguh Kampung Penang ‘A’ untuk beraksi di Grand Final yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Januari depan.
JADUAL:
Melaka – (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Seringit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).
Grand Final – (Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881