Kejuaraan pusingan kelima STL milik Bukit Putra atau PKNS?
December 14, 2014STL bukti sepak takraw belum mati
December 27, 2014PASIR GUDANG (21 Disember 2014): Jaguh Kampung Penang ‘A’ (JKPA) dan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (GASTEP ‘B’) akan memperbaharui permusuhan di atas gelanggang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir SepakTakraw League pusingan keenam yang menghampiri kemuncaknya di Stadium Tertutup Pasir Gudang.
Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada aksi peringkat kumpulan pada Sabtu dengan kemenangan berpihak kepada GASTEP ‘B’ 2-1 (21-19, 16-21, 21-17) justeru pertemuan ulangan ini membuka ruang kepada kedua-dua pasukan untuk membuktikan siapa jaguh sebenar yang akan pulang selaku juara.
Pada aksi separuh akhir yang berakhir sebentar tadi, JKPA yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zaim Razali serta tonggak skuad Sukan Universiti Asean (AUG) yang baru selesai membawa cabaran di Palembang minggu lalu, Kamal Ishak menundukkan Bukit Putra ‘B’ dengan keputusan 21-17, 21-14.
Terdahulu pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung hampir 120 minit, GASTEP ‘B’ mengetepikan tentangan sengit dari BK Deqma – pasukan yang dinamakan sempena nama pemain kebangsaan, Syazreen Qamar (Deqma) yang ketika ini menjalani pemulihan selepas dijangkiti wabak kencing tikus.
Diperkuatkan apit kiri kebangsaan Muqlis Borhan beserta gandingannya Subha Latip dan Hafiz Izudin Wahab, GASTEP menang 21-19 pada set pertama sebelum Deqma yang dibarisi dua lagi pemain yang beraksi di AUG 2014 – Suhairi Sulaiman dan Norhaffizi Abdul Razak – serta Muhammad Rashid mengheret perlawanan ke set penentuan menerusi kemenangan 21-18 pada set kedua.
Aksi set ketiga bagaimanapun berlangsung sedikit tegang berikutan beberapa keputusan pengadil yang dipersoalkan namun berkesudahan penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan menunjukkan aksi berbalas serangan berkualiti tinggi sebelum GASTEP meraih mata kemenangan ‘tie-break’ 25-24.
Pengurus pasukan GASTEP, Tuan Azman Tuan Alias berkata, “Sasaran kita adalah mara ke final dan kita berjaya mencapai sasaran itu. Pujian kepada pemain saya yang berjaya menyerap tekanan daripada penyokong dan juga tekanan daripada sedikit kesilapan pengadil. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dan berharap kita akan menamatkan pertandingan selaku juara.”
GASTEP dan Jaguh Kampung Penang A akan berentap pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung jam 9.30 malam ini dengan pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan layak ke Grand Finals.
Manakala Deqma dan Bukit Putra ‘B’ walaupun tewas, masih berpeluang menebus hampa apabila akan turun beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di mana pemenang akan meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan mara beraksi di pusingan play-off.
Keputusan
SUKU AKHIR :
BK Deqma mng Kerinchi Club, 2-1 (21-19, 14-21, 21-18)
Bukit Putra ‘B’ mng UMP ‘A’, 2-0 (21-15, 21-18)
GASTEP ‘B’ mng Jaguh Kampung Penang ‘B’, 2-0 (21-14, 21-15)
Jaguh Kampung Penang ‘A’ mng MPSJ ‘B’, 2-0 (22-20, 21-14)
SEPARUH AKHIR :
GASTEP ‘B’ mng BK Deqma, 2-1 (21-19, 18-21, 25-24)
Jaguh Kampung Penang ‘A’ mng Bukit Putra ‘B’ (21-17, 21-14)
TEMPAT KETIGA :
BK Deqma lwn Bukit Putra ‘B’
AKHIR :
Jaguh Kampung Penang ‘A’ lwn GASTEP ‘B’
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881