InstaPutra juara pusingan ketiga SepakTakraw League (STL)
November 23, 2014JKPA dan GASTEP B ulangi permusuhan di atas gelanggang
December 21, 2014PASIR GUDANG (14 DISEMBER 2014): Kecemerlangan aksi pemain kebangsaan membantu Bukit Putra dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mara ke aksi akhir seterusnya menentukan kejuaraan SepakTakraw League (STL) pusingan kelima yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, jam 8 malam ini.
Pada aksi separuh akhir yang berakhir sebentar tadi, pertembungan PKNS dan InstaPutra ‘B’ – dua pasukan yang diperkuatkan pemain kebangsaan berpihak kepada PKNS yang diperkuatkan tekong dan ‘killer’ kebangsaan – Shahidan Ali dan Khairul Zaman serta bekas pengumpan kebangsaan Farhan Adam.
Pasukan bimbingan Khairul Anuar mencatat kemenangan 21-18, 21-17 ke atas InstaPutra yang turut dibarisi dua pemain kebangsaan, Kamal Aizat (tekong) dan Helmi Ismail (killer) serta Solehin Samsudin.
“Pemain-pemain telah menunjukkan disiplin dan permainan yang baik, mustahil untuk kita melangkah ke final tanpa dua aspek tersebut. Saya gembira dengan kejayaan ke final dan kini mahu pemain saya beri komitmen penuh menentang Bukit Putra, pasukan yang memang kita jangka akan layak ke final kerana mereka juga diperkuatkan pemain kebangsaan. Saya tuntut pemain saya untuk berikan aksi bersemangat dan berkualiti pada final nanti,” jelas Khairul yang ditemui selepas perlawanan.
Bukit Putra yang terdahulu mengesahkan tiket di final pula menyingkirkan pasukan dari Terengganu, Hanelang ‘A’. Diperkuatkan servis tajam tekong kebangsaan, Ahmad Aizat Noor Azmi dan libasan ‘killer’ kebangsaan, Hafiz Abdul Rahman, Bukit Putra yang turut dibarisi Syafiq Rahman mengetepikan tentangan sengit yang dijelmakan trio bekas pemain kebangsaan, Zulkifli Abdul Razak, Safarudin Abu Bakar dan Fadzli Roslan dengan keputusan 21-18, 21-17.
Jurulatih Bukit Putra, Rosli Rahman berkata, “Pemain saya menampilkan permainan berhati-hati kerana kita sedar akan kekuatan Hanelang yang cuba memanfaatkan pengalaman bekas pemain kebangsaan, malah tekong mereka juga antara terbaik di Malaysia. Kini, kita sudah ke final saya yakin pemain-pemain saya dalam keadaan bersedia untuk berikan saingan.”
Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 selain layak beraksi di pusingan Grand Finals manakala naib juara mendapat RM3,000 dan layak ke pusingan play-off.
InstaPutra ‘B’ dan Hanelang ‘A’ pula masih boleh menebus hampa apabila beraksi pada aksi penentuan tempat ketiga, di mana pemenang tempat ketiga akan membawa pulang RM1,000 dan turut layak beraksi di pusingan play-off.
Setakat ini selepas berakhir empat pusingan, pasukan yang sudah melayakkan diri ke Grand Finals adalah Mazatech ‘A’, ATM ‘F’, InstaPutra dan PDRM ‘D’ manakala lapan pasukan yang layak beraksi di play-off adalah ATM ‘A’, ATM ‘C’, ATM ‘D’, ATM ‘E’, PDRM ‘C’, Mahsuri Pulau Pinang, Infratel ‘A’ dan Warisan AZ ‘A’.
Keputusan:
Suku Akhir: Bukit Putra mng Hanelang ‘B’ 2-0 (21-12, 21-14); Hanelang ‘A’ mng Sri Andalas TKP 2-0 (21-10, 21-16); PKNS mng Rompin 2-0 (21-17, 21-15) & InstaPutra ‘B’ mng Naza World 2-0 (21-17, 21-14).
Separuh Akhir: Bukit Putra mng Hanelang ‘A’ 2-0 (21-18, 21-17) & PKNS mng InstaPutra ‘B’ 2-0 (21-18-21-17).
Tempat Ketiga: Hanelang ‘A’ vs InstaPutra ‘B’
Akhir: Bukit Putra vs PKNS
JADUAL:
Johor – (Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang; 13-14 Dis & 20-21 Dis).
Melaka – (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Serindit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).
Grand Final – (Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).
Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Christopher Raj
chris@shekhinah.my
012 – 2161881