TNB LHM 2020: Maybank Tumpas Kepada UiTM, THT Bergelut Atasi Thunderbolts
February 5, 2020TNB LHM 2020: Persaingan Empat Pasukan Teratas Terus Rancak Dengan THT Atasi UiTM
February 9, 2020KUALA LUMPUR, 07 FEBRUARI: Persaingan bagi perebutan kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 terus sengit dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Maybank bagi memberikan tekanan kepada pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Dengan perbezaan lima mata memisahkan dua pasukan teratas, TNB tiada pilihan melainkan terus catat kemenangan jika ingin kekalkan peluang memburu kejuaraan.
Suku pertama perlawanan menyaksikan corak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun tiada jaringan dapat dihasilkan.
Kebuntuan jaringan terlerai dalam suku kedua apabila gol padang Norsyafiq Sumantri meletakkan TNB di depan pada minit ke-23.
Enam minit berselang, TNB makin selesa apabila Muhammad Shahril Saabah manfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Penguasaan TNB berterusan selepas itu dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menemui sentuhan jaringan untuk gol ketiga pasukannya.
Maybank kemudian membalas menerusi gol padang Muhammad Haziq Samsul tidak lama selepas itu namun TNB menambah satu lagi jaringan, sekali lagi menerusi Norsyafiq yang menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi memastikan kemenangan 4-1 memihak skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin.
“Pemain kami dapat mengekalkan rentak kemenangan dan kami masih berpeluang untuk beri tentangan kepada UniKL bagi perebutan gelaran liga.
“Sekali lagi pemain dapat menyempurnakan peluang yang ada dan ini perlu kami teruskan bagi perlawanan berikutnya,” jelas Nor Saiful.
Dalam pada itu, UniKL semakin menghampiri sasaran untuk mempertahankan gelaran liga menerusi kemenangan 4-0 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.
UiTM yang menewaskan Maybank, Rabu lepas mengharapkan rentak itu dapat diteruskan walaupun menyedari UniKL punyai kualiti yang berbeza.
Tengku Ahmad Tajuddin tampil cemerlang buat UniKL apabila meledak dua gol pada minit pertama dan juga minit ke-47 bagi membantu pasukannya mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut.
Dua lagi jaringan UniKL dihasilkan oleh Muhammad Razie Abd Rahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54 serta gol padang Roel Bovendeert, berselang tiga minit kemudian.
“Apabila sampai ke peringkat menuju ke penamat saingan liga, paling penting buat kami adalah untuk mengelakkan sebarang kecederaan di samping matlamat utama iaitu meraih tiga mata penuh.
“Tengku Ahmad Tajuddin bermain dengan baik dengan menjaringkan dua jaringan tetapi saya akui ini bukan permainan terbaik kami berbanding ketika pusingan pertama berdepan UiTM tempoh hari,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.
Manakala Terengganu Hockey Team (THT) mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga selepas menewaskan Kedah/Nurinsafi HT dengan keputusan 4-1 di Stadium Hoki Sungai Petani.
Ketiadaan Jung Manjae yang digantung satu perlawanan tidak jejaskan rentak THT apabila buka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Umar Bhutta pada minit keempat.
Faizal Saari kemudian menggandakan jaringan dalam suku kedua dengan tuan rumah membalas menerusi Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi yang meledak gol padang pada minit ke-30.
Namun THT tidak tergugat dan hasilnya jaringan Muhamad Shazrin Izzuddin Shamsuri serta satu lagi gol daripada Faizal menghadiahkan kemenangan buat pelawat.
“Cuaca panas sedikit memperlahankan rentak permainan kami tetapi kualiti yang dimiliki memastikan tiga mata diperoleh THT,” jelas jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Perlawanan lain menyaksikan TNB Thunderbolts meraih kemenangan pertama musim ini selepas mengatasi Hockademy KL dengan keputusan tipis 3-2.
Jaringan oleh Izzuan Ismail, Muhammad Fahmi Khalid serta Mohamad Syazwan Syafiq Basir memastikan tiga mata penuh diraih skuad kendalian Nor Azlan Bakar.
Hockademy pula membalas menerusi jaringan Ali Rizwan pada minit ke-42 hasil pukulan sudut penalti serta gol padang Riaz Rana Suhail, minit ke-47.