TNB LHM 2020: TNB Terus Beri Tekanan Kepada UniKL Bagi Perebutan Kejuaraan Liga
February 8, 2020Celebrating a Decade of Rugby Excellence
February 11, 2020KUALA LUMPUR, 09 FEBRUARI: Persaingan dalam perebutan empat pasukan teratas saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 terus sengit dengan Terengganu Hockey Team (THT) menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM HA) dengan keputusan 3-0 di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur pada Ahad.
Skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu berdepan tentangan hebat UiTM sebelum membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari yang menyempurnakan penalty stroke pada minit ke-13.
Belum sempat UiTM untuk menemui semula momentum mereka, Mohd Fitri Saari menggandakan pendahuluan buat pelawat hasil jaringan padang.
Perlawanan berlangsung seimbang selepas itu dengan THT mempunyai beberapa lagi peluang namun dikecewakan dengan ketumpulan penyudah di samping ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman.
Muhammad Umar Bhutta menambah satu lagi jaringan buat THT pada minit ke-57, menyaksikan keputusan akhir 3-0 memihak kepada pelawat.
THT kini mengumpul 28 mata daripada 11 perlawanan untuk kekal berada di tangga ketiga liga.
“Apa yang kami cuba adalah meneruskan perjuangan untuk mencari kemenangan kerana peluang kami untuk meraih tempat kedua masih lagi terbuka.
“Saya berharap THT akan terus mengekalkan rentak ini untuk memberikan lebih tekanan kepada TNB selain berada di tahap terbaik untuk saingan Piala TNB nanti,” jelas Dharma.
“Di sebalik kekalahan ini, kami bermain dengan baik berdepan pasukan yang cukup berpengalaman seperti THT dengan kami dapat menyekat penjaring terbanyak mereka, Jang Jong Hyun terutamanya daripada pukulan sudut penalti,” ujar penjaga gawang UiTM, Khairul Afendy.
Manakala pendahulu liga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih kemenangan ke-11 berturut-turut sekaligus menyaksikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah susulan kejayaan mengatasi TNB Thunderbolts 3-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.
Roel Bovendeerts membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-17 dengan dua lagi jaringan dihasilkan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Thunderbolts pula meraih jaringan tunggal di minit akhir permainan menerusi jaringan padang Iskandar Fareez Shah Zainal Abidin.
Turut mencatat kemenangan adalah Maybank yang menewaskan Kedah/Nurinsafi HT 5-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sungai Petani.
Kelebihan bermain di laman sendiri cuba dimanfaatkan oleh Nurinsafi yang mendahului menerusi penalty stroke Muhammad Azfar Yaqoob pada minit keenam sebelum Muhammad Nur Asyraf Ishak mengikat kedudukan buat Maybank, enam minit kemudian.
Syed Sibtain Raza Naqvi kemudian menambah satu lagi jaringan buat tuan rumah di samping Azfar meledak jaringan peribadi keduanya pada minit ke-18.
Maybank membalas dengan jaringan padang Muhammad Hafiizhuddin Zaidi minit ke-24 tetapi Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi kembali meletakkan Nurinsafi selesa dengan jaringan keempat pasukannya.
Kebangkitan pelawat mula menjelma selepas itu dengan Muhammad Haziq Samsul dan Amirullah Zainol masing-masing catat nama selaku penjaring untuk jadikan kedudukan 4-4.
Adam Aiman Mamat muncul wira Maybank apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Perlawanan lain menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak berdepan kesukaran untuk mengatasi Hockademy KL dengan keputusan 7-1.
Hatrik oleh Muhammad Shahril Saabah serta Muhamad Aminudin Mohd Zain, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Najib Abu Hassan dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan masing-masing peroleh satu jaringan bagi memastikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin.