TNB LHM 2020: TNB & UniKL Kekal Rekod Tanpa Kalah, THT Menang Besar
January 15, 2020TNB LHM 2020: Kemenangan Besar Buat Maybank Atasi Nurinsafi
January 18, 2020KUALA LUMPUR, 17 JANUARI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengukuhkan kedudukan sebagai pasukan teratas bagi saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas menewaskan TNB Thunderbolts dengan keputusan 4-2 untuk kemenangan keempat berturut-turut musim ini.
UniKL bagaimanapun dikejutkan dengan permainan pantas Thunderbolts yang terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang Nasrul Syahkhir Sadikul pada minit ke-4.
Begitupun pendahuluan berkenaan hanya bertahan selama seminit apabila Muhammad Razie Abd Rahim mengikat kedudukan buat UniKL hasil pukulan sudut penalti.
Momentum permainan kemudian beralih ke UniKL yang semakin mendapat rentak dan hasilnya pada minit ke-14 mereka peroleh jaringan kedua menerusi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.
UniKL semakin selesa selepas itu apabila Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-25.
Thunderbolts kemudian bangkit berikan tentangan dan merapatkan jurang apabila pukulan sudut penalti Muhammad Fahmi Khalid membolosi gawang lawan pada minit ke-46 namun Timothy James Deavin menambah satu lagi jaringan buat UniKL.
“Paling penting adalah untuk mendapatkan tiga mata, kami tidak bermain dengan baik dalam perlawanan ini dan seperti juga musim lalu, Thunderbolts merupakan lawan yang sukar.
“Kami mempunyai beberapa peluang terutamanya pukulan sudut penalti dan saya berpuas hati dengan aksi Muhammad Razie Abd Rahim yang konsisten sepanjang empat perlawanan,”jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.
Teraju liga bagaimanapun dirampas oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas membelasah Hockademy KL dengan keputusan 6-0.
Pasukan bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu memastikan rekod tanpa kalah mereka berterusan dengan jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal serta Mohamad Akhimullah Anuar Esook berikan pendahuluan selesa pada suku pertama.
Azrai Aizad kemudian menambah satu lagi jaringan disusuli pukulan sudut padang oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Arif Syafie Ishak terus menjarakkan kedudukan buat TNB.
Kemenangan besar TNB dilengkapkan dengan jaringan peribadi kedua oleh Akhimullah pada minit ke-41 bagi memastikan tiga mata penuh buat pasukannya.
Satu lagi perlawanan menyaksikan Terengganu Hockey Team (THT) peroleh kemenangan 5-3 ke atas UiTM di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.
THT dibantu dengan permainan kemas tonggak importnya, Jang Jong Hyun yang sekali lagi meledak hatrik di samping gandingan adik-beradik Faizal dan Mohd Fitri Saari yang masing-masing peroleh satu jaringan.
Manakala UiTM memperoleh jaringan menerusi Danial Asyraf Abdul Ghani, Mohamad Zulhamizan Awang Abas dan Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri.
“Seperti juga aksi menentang Nurinsafi sebelum ini kami tidak bermula dengan begitu baik dan ketinggalan kepada lawan.
“Kami perlu berusaha lebih keras dalam pertemuan ini dan Jong Hyun memastikan kami dapat menemui semula rentak permainan bagi meraih kemenangan,” ujar Dharma Raj ketika dihubungi.