Saingan Tiga Penjuru : Peningkatan Dipamerkan Malaysian Tigress
May 30, 2019ADAC TCR Germany Touring Car Championship: Mitchell Cheah secures inaugural podium finish
June 10, 2019Skuad hoki wanita negara berjaya mendapatkan suntikan semangat sebelum meneruskan siri jelajah mereka ke Scotland sebagai persediaan menjelang FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 apabila menutup aksi di Saingan Tiga Penjuru antara Malaysia, Sepanyol dan Itali yang berlangsung di Rom dengan kemenangan.
Malaysian Tigress yang turun bertemu tuan rumah sekali lagi bagi melengkapkan saingan tersebut mencatatkan kemenangan 2-0 dan kedua-dua gol dihasilkan pada suku pertama menerusi gerakan padang.
Bermula dengan jaringan Norazlin Sumantri pada minit kelima, Hanis Nadiah Onn menggandakan jaringan pada minit ke-11 yang juga merupakan gol kemenangan buat skuad negara.
Secara keseluruhan Saingan Tiga Penjuru Malaysia-Sepanyol-Itali melaburkan tirai dengan Malaysian Tigress mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Bermula dengan tewas 1-5 kepada Sepanyol, skuad negara hampir meraih kemenangan pada aksi kedua ketika bertemu Itali namun terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 apabila pasukan lawan bangkit mendapatkan jaringan penyamaan.
Walaupun tewas 2-4 pada aksi ketiga ketika bertemu Sepanyol sekali lagi, namun peningkatan terus ditunjukkan oleh barisan pemain negara dengan mereka berjaya mengecilkan marjin jaringan selain tidak membenarkan pasukan lawan mendapatkan sebarang pukulan sudut penalti pada tiga suku pertama.
Ia pastinya sesuatu yang cukup positif untuk pemain-pemain negara apabila berjaya menutup saingan dengan kemenangan tambahan Saingan Tiga Penjuru ini turut menyaksikan tonggak senior dan pemain muda berjaya mencipta nama selaku penjaring.
Pengendali negara Muhammad Dharmaraj Abdullah yang dihubungi selepas tamat perlawanan nyata gembira dengan kemenangan yang dicatat anak-anak buahnya ke atas tuan rumah dan menganggap Itali bukan pasukan biasa apabila mereka berjaya meraih kemenangan 4-3 ke atas Sepanyol pada perlawanan semalam sebelum turun bertemu skuad negara hari ini.
“Pastinya saya gembira dengan kemenangan 2-0 ke atas Itali pada aksi terakhir di Rom dan hari ini pemain bermain dengan cukup cermat jadi tiada sebarang kecederaan berlaku.
“Pemain memberikan satu persembahan yang menarik sama ada dari segi bertahan ataupun melakukan serangan balas yang pantas di mana ia banyak membantu dalam meraih kemenangan hari ini.
“Itali bukan satu pasukan yang biasa, semalam mereka berjaya untuk menewaskan Sepanyol 4-3.
“Esok kami akan bertolak ke Scotland dan di sana kami akan bermain dua perlawanan persahabatan dengan Pasukan Pilihan Uddingston sebelum kami ke Ireland dan di Ireland nanti kami akan melalui satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Skuad B-23 Ireland,” jelasnya.
Siri jelajah Eropah diatur sebagai salah satu langkah persediaan buat skuad negara sebelum menuju ke FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 yang akan membuka tirai pada 8 hingga 16 Jun 2019 dengan skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Ireland, Republik Czech dan Singapura.