Saingan Tiga Penjuru: Malaysian Tigress, Itali Terikat Seri
May 29, 2019Saingan Tiga Penjuru Ditutup Dengan Kemenangan
June 1, 2019Walaupun tewas 2-4 kepada Sepanyol dalam perlawanan ketiga Saingan Tiga Penjuru antara Malaysia, Sepanyol dan Itali yang berlangsung di Rome Itali itu, namun pujian harus diberikan kepada skuad wanita negara yang berjaya untuk memberikan saingan dan mengecilkan marjin jaringan berbanding aksi pertama.Ketika bertemu Sepanyol pada perlawanan pertama, Malaysian Tigress tewas dengan jaringan 1-5, dan aksi timbal balik yang berlangsung lewat malam tadi, skuad negara yang pada mulanya ketinggalan 0-4 berjaya bangkit mencari dua jaringan.
Dua gol tersebut dihasilkan menerusi gerakan padang pada minit ke-54 dan ke-59 yang dijaringkan oleh Nur Maizatulhanim Syafi Syeik Fuad namun dua jaringan tersebut agak lewat untuk mereka mengejar kedudukan Sepanyol yang terlebih dahulu meledak empat gol hasil tiga gol padang dan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-21, 26, 50 dan 51.
Menurut pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk bermain dua perlawanan berturut-turut apatah lagi bertemu Sepanyol yang mendapat rehat sehari, tetapi pujian diberikan kepada pemainnya yang berjaya menunjukkan persembahan yang lebih baik berbanding aksi pertama bertemu pasukan yang sama itu.
“Sepanyol merupakan pasukan yang berada dalam kelas terbaik berbanding pasukan kami dan Itali. Bermain dua perlawanan berturut-turut menentang Sepanyol yang mendapat rehat sebelum ini adalah ujian yang cukup mencabar buat kami.
“Tetapi pemain-pemain berjaya mempamerkan satu persembahan yang jauh lebih baik daripada pertemuan pertama dengan Sepanyol dan bukan mudah untuk menentang mereka tetapi kami bermain dengan lebih baik untuk perlawanan ini.
“Satu perkara positif yang dapat dilihat adalah seorang lagi pemain muda berusia 18 tahun, Maizatulhanim Syafi muncul selaku penjaring dengan menjaringkan dua gol,” jelasnya ketika dihubungi.
Perlawanan terakhir bagi Saingan Tiga Penjuru akan berlangsung pada 9.30 malam esok waktu Malaysia, dengan skuad negara akan turun sekali lagi bertemu tuan rumah, Itali.