TNBLHRM2019: Format Baru Musim 2019 Diperkenalkan
May 25, 2019Malaysian Tigress Tewas Aksi Sulung Saingan Tiga Penjuru
May 27, 2019KUALA LUMUR (25 MEI 2019) : Format baru bagi saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 diperkenalkan di mana kejohanan tersebut akan membuka tirai pada 21. Jun 2019 bermula dengan saingan bagi divisyen satu kategori lelaki, diikuti saingan wanita akan bermula pada 28. Jun 2019 dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 3. Ogos 2019.Bagi kategori wanita sebanyak sembilan pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka sementara 14 pasukan akan bertanding bagi kategori lelaki di mana sembilan pasukan merupakan pasukan yang telah beraksi di divisyen satu pada musim lalu sementara lima lagi pasukan akan diisi oleh juara bagi saingan kalah mati yang akan berlangsung pada 14 dan 16 Jun 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Ekoran tiada saingan bagi divisyen dua musim ini, sebanyak 10 Pasukan yang tidak layak untuk beraksi bagi divisyen satu akan bersaingan dalam peringkat kalah mati tersebut.
Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Encik George Koshy pada sidang media yang berlangsung selepas tamat mesyuarat bersama pengurus pasukan yang bertanding.
“Pada tahun ini kami hanya mempertandingkan divisyen satu sahaja tidak seperti tahun-tahun lalu dan ketika penyertaan dibuka, 19 pasukan menunjukkan minat untuk menyertai liga tahun ini.
“Sembilan pasukan yang menyertai liga bagi kategori lelaki merupakan pasukan yang telah beraksi di divisyen satu pada edisi lalu dan 10 pasukan lain adalah pasukan yang tidak layak beraksi untuk divisyen satu.
“Jadi apa yang kami lalukan adalah memperkenalkan pusingan kalah mati untuk 10 pasukan tersebut. Setiap pasukan yang beraksi pada pusingan kalah mati akan berdepan dua lawan yang berbeza menerusi cabutan undi yang telah dilakukan.
“Selepas tamat perlawanan pusingan kedua, kami akan menyusun kedudukan pasukan-pasukan tersebut mengikut jumlah mata yang mereka kutip.
“Setiap perlawanan akan menghadiahkan mata di mana jika mereka menang, mereka akan mengutip tiga mata, jika mereka seri, setiap pasukan akan mengutip satu mata dan juga mereka perlu melalui penentuan shoot-out yang mana pemenang akan mendapat satu mata ekstra.
“Jadi lima pasukan terbaik dalam pusingan kalah mati akan layak beraksi bagi saingan divisyen satu lelaki,” jelas George Koshy kepada rakan-rakan media yang hadir pada sidang media tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, George Koshy turut menjelaskan perancangan sebenar mengapa format baru bagi musim ini diperkenalkan selain turut menyatakan KHM akan memperkenalkan satu lagi saingan Liga Remaja Bawah 19 tahun yang akan menampilkan juara serta naib juara bagi saingan liga remaja peringkat negeri.
Namun tarikh serta venue bagi liga yang akan dijalankan dalam bentuk karnival itu masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan kelak.
“Saya telah menjelaskan ketika mesyuarat hari ini sebab utama mengapa kami tidak mengekalkan saingan divisyen dua pada musim ini. Di mana kami juga telah berbincang dengan setiap persatuan negeri dan meminta untuk mereka menjalankan liga hoki remaja peringkat negeri.
“Ini kerana kami akan memperkenalkan satu lagi Liga Hoki Remaja Bawah 19 tahun pada penghujung tahun ini dalam bentuk karnival di mana ia akan disertai oleh juara dan naib juara bagi saingan liga yang telah dijalankan oleh setiap negeri.
“Kami melakukan perubahan ini kerana jika dilihat penyertaan pasukan negeri bagi liga hoki remaja begitu kecil dan kami mahu liga hoki remaja peringkat negeri menjadi satu liga yang penting.
“Kami juga berharap pasukan-pasukan yang bertanding di TNB Liga Hoki Remaja Malaysia juga akan turut sama menyertai liga yang dijalankan di peringkat negeri itu bagi mengangkat lagi kualiti saingan liga tersebut,” tambahnya lagi.