TNBLHRM2019: Format Baru Musim 2019 Diperkenalkan
May 25, 2019Saingan Tiga Penjuru: Malaysian Tigress, Itali Terikat Seri
May 29, 2019Skuad Hoki Wanita Kebangsaan mengalami kekalahan pertama dalam Saingan Tiga Penjuru antara Malaysia, Itali dan Sepanyol yang diatur sebagai aksi pemanas badan buat Malaysian Tigress sebelum ke kejohanan penting FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 pada 8 hingga 16 Jun 2019 di Ireland.
Aksi sulung Saingan Tiga Penjuru itu menyaksikan Malaysian Tigress terpaksa akur tewas 1-5 kepada Sepanyol pada perlawanan yang berlangsung di Rome, Itali dengan gol tunggal skuad negara disumbangkan oleh Nur Amirah Shakirah Zulkifli hasil gol padang pada minit ke-26.
Sementara Sepanyol meledak lima gol menerusi tiga gol pukulan sudut penalti dan dua jaringan padang bermula dengan gol pembukaan pukulan sudut penalti Maria Lopez pada minit ke-24, dia sekali lagi mencatat nama selaku penjaring menerusi gerakan yang sama pada minit ke-29, tiga minit selepas jaringan skuad negara terhasil.
Bersambung separuh masa kedua, Sepanyol meledak gol ketiga menerusi Berta Bonastre yang menyempurnakan gol padang pada minit ke-32 dan mereka terus menggandakan jaringan pada minit ke-41 selepas Lola Riera menjaringkan gol pukulan sudut penalti.
Gol kelima Sepanyol terhasil pada minit ke-50 apabila Marta Segu menggunakan peluang yang dimiliki menerusi gerakan padang yang sekaligus menutup perlawanan pertama dengan kemenangan 5-1 berpihak Sepanyol.
Malaysian Tigress akan turun untuk pertemuan kedua menentang Itali, esok jam 11.30 malam waktu Malaysia.