Jin Wei lead the Malaysian challenge into the second round
April 3, 2019Kian Meng-Pei Jing Kibar Perjuangan Di Suku Akhir Terbuka Malaysia 2019
April 4, 2019Beberapa lagi pemain negara turut berjaya melangkah
KUALA LUMPUR (3 April 2019): Saingan hari kedua kejohanan badminton Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2019 di Axiata Arena tadi menyaksikan beberapa lagi pemain negara berjaya menempatkan diri ke pusingan kedua esok.Antara yang berjaya mara adalah pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang menundukkan pemain Thailand, Nitchaon Jindapol 21-13 21-12.
Ditanya mengenai aksi sebentar tadi, Jin Wei berkata, “Saya hanya enjoy perlawanan tadi, tidak terlalu letih dan tidak terlalu tertekan.
“Untuk aksi selepas ini, saya hanya fokus untuk melawan. Untuk pertemuan dengan Pornpawee Chochuwong, saya akan hanya memberikan persembahan terbaik kerana dia adalah pemain ranking atasan dunia dan sudah lama tidak berjumpa,”ujar Jin Wei.
Turut mara adalah beregu campuran negara, Goh Soon Huat- Shevon Jemie Lai yang berjaya menang mudah 21-13 21-15 ke atas pasangan Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami dalam masa 23 minit.
Bercakap mengenai aksinya dan pasangan, Shevon berkata, “Ianya kemenangan yang lebih mudah daripada yang kami jangkakan. Kami hanya melakukan yang terbaik dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang secepat mungkin.”
“Biarpun pertemuan kami dengan pasangan Thailand (Dechapol Puavaranukroh- Sapsiree Taerattanachai) selepas ini adalah 50-50 dan dalam aksi sebelum ini kebanyakannya dikuasai mereka namun kami akan bersedia dengan lebih rapi. Kita akan lakukan apa sahaja di atas gelanggang dan mengharapkan keputusan positif,”katanya.
Selain Jin Wei dan Soon Huat-Shevon, antara pemain yang mengesahkan tempat ke pusingan kedua setelah menang tadi ialah Ong Yew Sin- Teo Ee Yi serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terhenti di pusingan pertama setelah dia tewas 17-21 21-19 15-21 kepada pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon. Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Chong Wei Feng yang turun lebih awal juga mengalami nasib sama selepas dia tewas 12-21 12-21 kepada pemain Jepun, Kanta Tsuneyama sekaligus tersingkir di pusingan awal.
Satu lagi pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan- Lee Meng Yean juga gagal menempah tiket ke pusingan kedua. Mereka tewas 21-12 10-21 15-21 kepada pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.
Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2019 berlangsung dari 2-7 April 2019 di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah USD 700,000.00.
Tiket dijual dengan lima kategori tempat duduk iaitu premium, lower, upper, VIP dan Superfan (untuk peminat merasai suasana yang lebih unik serta pengalaman lebih dekat dengan pemain, akses ke hospitaliti eksklusif Axiata Arena, poster rasmi yang ditandatangani pemain kebangsaan dan mendapat buku program). Ia boleh dibeli melalui laman sesawang http://www.myticket.asia dan di talian (+603-86050195) atau juga dibeli terus di venue semasa kejohanan ini berlangsung.
Keputusan pemain Malaysia yang beraksi hari ini (Pusingan pertama):
MS Kanta TSUNEYAMA (Jepun) mng CHONG Wei Feng 21-12 21-12
XD GOH Soon Huat- LAI Shevon Jemie mng Alfian Eko PRASETYA- Marsheilla Gischa ISLAMI (Indonesia) 21-13 21-15
WS GOH Jin Wei mng Nitchaon JINDAPOL (Thailand) 21-13 21-12
WD Jongkolphan KITITHARAKUL- Rawinda PRAJONGJAI (Thailand) mng CHOW Mei Kuan- LEE Meng Yean 12-21 21-10 21-15
MS Suppanyu AVIHINGSANON (Thailand) mng LEE Zii Jia 21-17 19-21 21-15
MD ONG Yew Sin- TEO Ee Yi mng Kittinupong KEDREN- Dechapol PUAVARANUKROH (Thailand) 21-17 21-19
MD Aaron CHIA- SOH Wooi Yik mng Marcus ELLIS- Chris LANGRIDGE (England) 21-14 21-19