TNB MHL 2019: PKS Uniten, LISHC dan TLHT Bawa Pulang Tiga Mata
February 2, 2019TNB MHL 2019: PKS Uniten Calar Rekod Tanpa Kalah TLHT
February 4, 2019KUALA LUMPUR (03 FEBRUARI 2019) : Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di persada TNB Liga Hoki Malaysia 2019 dalam saingan Liga Perdana selepas berjaya menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-1 pada aksi yang berlangsung sengit di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, hari ini.Kemenangan tersebut menyaksikan UniKL kini masih terus berada di tangga teratas liga dengan 19 mata dan diekori rapat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas lawan mereka Universiti Teknologi Mara (UITM) sementara THT masih berada di kedudukan ketiga dengan 13 mata.
UniKL berjaya untuk membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi gerakan Robert Huib Kemperman yang berjaya untuk memperdaya tiga pemain pertahanan THT dan melakukan satu pukulan mencari sebelah atas kiri pintu gol THT untuk menewaskan Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
THT bagaimanapun mempunyai peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan menerusi tiga pukulan sudut penalti yang diterima namun penyudahan yang menjadi menyaksikan kedudukan 1-0 terus kekal di suku pertama perlawanan.
Bersambung suku kedua, dapat dilikat UniKL dan THT saling meningkatkan permainan mereka untuk mencari jaringan dan UniKL dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama mereka namun kesilapan berlaku ketika stopper ingin memberhentikan bola dan terlepas peluang UniKL untuk cuba mencari jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
Dua minit sebelum tamat aksi separuh masa pertama, THT turut memiliki peluang untuk mengikat kedudukan selepas barisan pertahanan UniKL tidak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dengan sebaiknya namun bola yang sampi ke Mohd Fitri Saari tidak berjaya untuk ditolak masuk ke dalam kawasan gol selepas Baljit Singh dapat memintas bola tersebut dan kedudukan terus kekal 1-0 pada separuh masa pertama.
Beberapa saat sebelum suku ketiga berakhir, kekerasan yang dilakukan oleh Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang menjatuhkan Fitri Saari dalam kawasan ‘25’ menghadiahkan THT dengan pukulan sudut penalti namun dua pukulan berturut-turut yang dimiliki itu masih tidak berjaya untuk digunakan dengan sebaiknya bagi mengikat kedudukan.
Jaringan penyamaan yang dicari-cari THT akhirnya tiba apabila minit ke-48 THT yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti berjaya untuk memperdaya barisan pertahanan UniKL untuk Jang Jonghyun muncul selaku penjaring gol penyamaan namun gol tersebut tidak bertahan lama apabila seminit kemudian serangan balas yang diatur UniKL menerusi bola yang dihantar oleh Kieran Ian Govers berjaya untuk disudahkan oleh Muhammad Hafiz Zainol dan UniKL kembali dihadapan 2-1.
UniKL berjaya untuk menambah satu lagi gol pada minit ke-54 kali ini menerusi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin yang bijak untuk menggunakan ruang yang terhad untuk melakukan percubaan dan jaringan tersebut sekaligus menyaksikan UniKL mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas THT.
Dalam pada itu pertemuan antara UITM dan TNB yang berlangsung di Stadium Hoki UITM menyaksikan TNB turut berjaya untuk membawa pulang tiga mata selepas Muhammad Arif Syafie Ishak berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan buat TNB pada minit ke-32 hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki.
TNB terus menggandakan jaringan pada minit ke-42 selepas Firhan Ashaari tidak melepaskan kesempatan yang dimiliki untuk terus meletakkan TNB di hadapan 2-0 namun UITM berjaya untuk mencuri satu jaringan pada minit ke-53 hasil gol padang yang disempurnakan Abdul Khaliq Hamirin.
Minit ke-56 TNB yang sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti tidak melepaskan peluang untuk menambah jaringan apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyempurnakan gol tersebut dan sekaligus menutup pertemuan dengan kemenangan 3-1 berpihak TNB.
Satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur menyaksikan Nurinsafi/Kedah Hockey yang menerima kunjungan Maybank terpaksa akur tewas tipis 4-5.