TNB LHM 2019: UniKL Rampas Tahta Liga
February 1, 2019TNB LHM 2019: UniKL Kukuhkan Cengkaman Di Persada Liga
February 3, 2019PKS Uniten, Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) yang bertandang ke laman lawan masing-masing berjaya untuk membawa pulang tiga mata yang pastinya cukup bermakna untuk membantu mereka mengejar kedudukan terbaik dalam liga kerana saingan TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2019 kini hampir ke kemuncak dengan hanya tiga lagi perlawanan berbaki.Selepas tamat perlawanan yang berlangung hari ini, kedudukan liga menyaksikan tiada perubahan yang berlaku di mana TLHT terus unggul di tangga teratas dengan 27 mata menerusi sembilan kemenangan diikuti PDRM Blue Warriors di kedudukan kedua dengan 21 mata sementara PKS Uniten dan LISHC masing-masing berkongsi 19 mata namun perbezaan jaringan meletakkan PKS Uniten di kedudukan ketiga dan LISHC di tangga keempat.
Berkunjung ke Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur bertemu PDRM Blue Warriors, jaringan tunggal Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ketujuh menerusi gerakan padang berjaya untuk membantu TLHT menambah koleksi tiga mata dalam carta liga yang juga sekaligus meragut impian pasukan tuan rumah yang pastinya mahu sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata daripada pertemuan tersebut.
Sementara itu aksi yang berlangsung di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur menyaksikan pasukan pelawat, PKS Uniten berjaya untuk memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong selepas menundukkan pasukan tuan rumah, KL Wipers 4-1.
PKS Uniten yang memiliki kelebihan pukulan sudut penalti pada minit kelapan berjaya untuk membuka tirai jaringan apabila Hanis Nadiah Onn cemerlang untuk melakukan penyudahan bagi meletakkan pasukannya dihadapan 1-0.
KL Wipers bagaimanapun kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-36 apabila gol padang Nur Suraya Athira Mohd Ziraimi tidak berjaya untuk diselamatkan oleh penjaga gol PKS Uniten, Mas Huzaimah Md Aziz dan kedudukan tersebut kekal di suku ketiga.
Bersambung suku keempat, PKS Uniten terus menggandakan asakan dan mereka berjaya untuk kembali berada di hadapan apabila Raja Norsharina Raja Shabuddin menggunakan sepenuhnya kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minti ke-49 untuk kedudukan berubah 2-1.
Tujuh minit masa sebenar perlawanan berbaki, PKS Uniten meledak dua lagi gol menerusi jaringan padang Nuraini Abdul Rashid dan Hanis Nadiah Onn sekali lagi muncul selaku penjaring masing-masing pada minit ke-53 dan 57 untuk memutlakkan kemenangan 4-1 PKS Uniten pada aksi hari ini.
Satu lagi pertemuan menyaksikan LISHC yang bertandang ke Padang Hoki Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) turut berjaya membawa pulang tiga mata apabila menewaskan SSTMI 6-0.
LISHC menjaringkan empat gol menerusi pukulan sudut penalti di mana dua daripadanya merupakan gol pembukaan pada minit keenam dan penutup pada minit ke-57 yang dijaringkan oleh Liu Hui sementara dua lagi gol pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Chen Yiming dan Yu Qian pada minit ke-13 dan 32.
Dua lagi gol yang berpunca daripada gerakan padang pula disumbangkan oleh Li Feng pada minit ke-43 dan minit ke-55 Liu Feng turut memastikan namanya tercatat selaku penjaring dalam kemenangan 6-0 LISHC ke atas SSTMI.
Aksi bagi liga wanita akan terus bersambung pada Isnin, 4 Februari 2019 di mana pada jam 4.00 petang, bertempat di Stadium Hoki KLHA, KL Wipers akan bertemu PSHA-MSSPP sementara PKS Uniten dan TLHT yang pastinya tidak mahu kehilangan mata akan bertemu di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur jam 5.00 petang dan pada jam 6.00 petang di Stadium Hoki KLHA, LISHC akan berdepan PDRM Blue Warriors.