TNB LHM 2019: UniKL, THT Dan Maybank Kutip Tiga Mata
January 18, 2019Hari Gemilang Buat Malaysia dalam Suku Akhir Perodua Malaysia Masters 2019
January 18, 2019KUALA LUMPUR (18 Januari 2019): Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melakar satu lagi kejutan besar di Axiata Arena sebentar tadi apabila menumpaskan pemain ranking ke-7 dunia dari China, He Bingjiao sekaligus menempah tiket ke separuh akhir Perodua Malaysia Masters (PMM) 2019.Goh Jin Wei yang turun selaku pemain bukan pilihan berjaya mendominasi perlawanan untuk menang straight 21-15 21-16 ke atas He Bingjiao.
Ditemui selepas tamat perlawanan, Jin Wei berkata, “Selaku underdog saya terus memberi tekanan kepada pihak lawan supaya dia mahu cepat mematikan bulu tangkis. Saya rasa bertuah mara hingga ke separuh akhir. Lagipun saya dapat sokongan padu daripada penyokong yang banyak membantu,”kata Jin Wei.
Ditanya mengenai pertemuan yang juga getir bertemu juara bertahan kejohanan dari Thailand, Ratchanok Intanon esok, Jin Wei berkata,
“Saya tidak berfikir tentang kejohanan tahun lepas walaupun berjaya mencuri satu set kemenangan semasa Malaysia Masters.
“Saya hanya akan berjuang tanpa memikirkan apa-apa. Lagipun dia adalah juara dunia, saya boleh belajar daripadanya.”ujar Jin Wei.
Selain Goh Jin Wei, pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin- Teo Ee Yi turut mengisi slot separuh akhir PMM 2019 selepas menundukkan pasangan nombor 3 dunia dari Jepun, Takeshi Kamura- Keigo Sonoda 21-19 21-16.
Yew Sin- Ee Yi bakal bertemu sama ada rakan senegara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik atau Kim Astrup- Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.
Kecuali Goh Soon Huat- Shevon Lai Jemie yang terkandas, pemain dari Malaysia yang juga menceriakan penyokong di Axiata Arena apabila berjaya melepasi peringkat suku akhir (sehingga 8pm) tadi adalah pasangan profesional negara, Chan Peng Soon- Goh Liu Ying dan juga pemain persorangan lelaki, Liew Daren.
Saingan PMM 2019 sedang berlangsung bermula dari 15 hingga 20 Januari 2019. Tiket boleh didapati menerusi pembelian atas talian di laman sesawang https://myticket.asia/ serta boleh membelinya secara fizikal semasa hari perlawanan di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).
Harga tiket adalah bermula dari RM18 hingga RM75 mengikut kategori tempat duduk (upper, lower dan premium). Kanak-kanak berusia 4-18 tahun pula boleh menikmati diskaun harga tiket sehingga 50% hingga ke suku akhir kejohanan (Premium dan Lower Tier) dan diskaun
hingga ke peringkat akhir (untuk tempat duduk Upper Tier). Terdapat juga pas VIP serta pas bermusim yang turut dibuka untuk pembelian.
Berstatus Jelajah Dunia BWF Super 500, Perodua Malaysia Masters 2019 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak US$350,000.