PSAS 2018: Malaysia Alami Kekalahan Pertama
March 4, 2018PSAS 2018: India Sekat Hajat Malaysia
March 6, 2018Status Argentina selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 nyata tidak menggentarkan Malaysian Tigers apabila berjaya menumbangkan pasukan yang berada di ranking kedua dunia itu 2-1 pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, hari ini.
Kejayaan mengutip tiga mata pada malam ini meletakkan anak-anak buah Stephen van Huizen semakin dekat untuk mengejar dua kedudukan teratas apabila kini berkongsi kedudukan kedua bersama Argentina selepas mengumpul enam mata.
Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima namun hantaran kapten pasukan, Razie Rahim mencari Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil tidak berjaya dibaca dengan sempurna termasuk dua pukulan sudut penalti tidak berjaya disudahkan dengan baik.
Kesilapan tersebut bagaimanapun berjaya ditebus Malaysian Tigers apabila memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin yang berjaya untuk menggunakan situasi kelam kabut dalam kawasan lawan untuk meledak jaringan.
Lapan minit kemudian, situasi kelam kabut dalam kawasan lawan sekali lagi berjaya dimanafaatkan oleh pemain-pemain negara untuk terus menggandakan jaringan kali ini menerusi Najmi Farizal Jazlan yang berada di sebelah kiri pintu lawan cemerlang menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang.
Argentina yang dihadiahkan dengan tiga pukulan sudut penalti dan satu penalti stroke pada separuh masa pertama gagal untuk menewaskan kedua-dua penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohammad Hairi Abd Rahman dan kedudukan 2-0 kekal hingga pemain menuju ke bilik persalinan.
Bagaimanapun dua minit sejurus separuh masa kedua bermula, kedudukan jaringan berubah 2-1 apabila penjaga gol negara, Hairi Abd Rahman tertewas menerusi jaringan padang Diego Paz.
Tekanan terus menghantui Argentina pada suku ketiga apabila beberapa percubaan untuk menyamakan kedudukan tidak berkesampaian termasuk tiga pukulan sudut penalti mereka berjaya dipatahkan oleh penjaga gol serta barisan pertahanan negara.
Malaysia hampir terus melebarkan kedudukan pada suku keempat apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti ketiga namum flik yang dilakukan oleh Razie Rahim berjaya ditepis dan pukulan susulan Razie tersasar ke kiri pintu gol Argentina.
Dua minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir skuad negara hampir menghasilkan jaringan menerusi gerakan Muhammad Firhan Ashaari mencari Faizal Saari yang berada di sebelah kanan pintu gol lawan namun bola hantaran Firhan tidak berjaya dibaca dengan sempurna dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Penjaga gol negara Hairi Abdul Rahman dipilih selaku pemain terbaik perlawanan menentang Argentina dan esok Malaysia akan turun menentang India untuk aksi keempat.
Lain-lain keputusan:
England 4 Ireland 1
India 2 Australia 4