PSAS 2018: Jangan Beri Argentina Pukulan Sudut Penalti – Hairi Rahman
March 3, 2018PSAS 2018: Argentina Tumbang Di Tangan Malaysia
March 5, 2018Malaysian Tigers terpaksa akur dengan status lawan mereka, Australia sebagai pasukan yang berada di ranking pertama dunia apabila tewas 1-3 dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, hari ini.
Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Stephen van Huizen yang beraksi bermati-matian serta telah memberikan tentangan yang terbaik kepada The Kookaburras sebelum mereka berjaya meraih kemenangan.
Keputusan malam ini juga meletakkan Malaysia kini di kedudukan ketiga dengan tiga mata sementara Australi berada di kedudukan teratas dengan enam mata dan dipisahkan dengan perbezaan gol untuk meletakkan Argentina di kedudukan kedua yang turut mengumpul enam mata.
Australia terlebih dahulu dipaksa berkerja keras sebelum kesilapan skuad negara yang menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Australia berjaya digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk meledak gol pukulan sudut penalti pada minti ke-10 menerusi Corey Weyer.
Beberapa saat sebelum suku kedua berakhir, pintu gol Malaysian Tigers sekali lagi dirobek oleh Australia apabila kesilapan di bahagian pertahanan menyebabkan penjaga gol negara, Mohammad Hairi Abd Rahman terpaksa keluar daripada posisinya dan keadaan pintu gol yang terbuka digunakan oleh Dylan Wotherspoon untuk meledak gol kedua sekaligus menutup aksi separuh masa pertama 2-0.
Tiga minit selepas bersambung separuh masa kedua Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama hampir merapatkan kedudukan menerusi jaringan kapten negara, Muhammad Razie Abdul Rahim namun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas Australia mencabar untuk menggunakan video rujukan.
Disebalik skuad negara terus mempamerkan aksi yang terbaik dengan mematahkan beberapa pukulan sudut penalti serta cubaan serangan Australia, dua minit sebelum berakhirnya suku ketiga menyaksikan pintu gol skuad negara sekali lagi dibolosi kali ini menerusi jaringan padang Aaron Kleinschmidt untuk Austalia terus selesa di hadapan 3-0.
Sikap tidak berputus asa Malaysian Tigers dalam terus menggandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-53 pintu gol Australia berjaya dibolosi menerusi jaringan padang Mohd Marhan Mohd Jalil untuk kedudukan berubah 1-3.
Namun jaringan Marhan itu tidak cukup untuk menidakkan kemenangan kedua berturut-turut Australia apabila kedudukan 1-3 itu kekal sehingga wisel penamat.
Malaysia akan turun pada aksi ketiga lusa, (6 Mac 2018) pada jam 8.30 malam bertemu Argentina.
Lain-lain keputusan:
India 1 England 1
Ireland 3 Argentina 5