Crunch Time for SSPL 2017/18 Top Six Clubs
February 7, 2018Piala TNB 2018: KLHC, UniKL Ke Final Piala TNB
February 7, 2018KUALA LUMPUR (7 Februari 2018): Selepas mengerah tenaga pada peringkat awal untuk mendapatkan kedudukan teratas, enam pasukan terbaik akhirnya bakal membuat perhitungan dalam peringkat terakhir SS Purple League (SSPL) 2017/18 bermula 8 hingga 11 Februari ini di Arena Of Stars, Resorts World Genting. Di peringkat terakhir SSPL yang bakal bermula Khamis ini, dua pasukan iaitu Kelab Badminton (KB) Puchong United dan KB Cheras sudah menempatkan diri secara automatik di separuh akhir selepas berjaya mara selaku dua pasukan teratas.
Sementara empat lagi pasukan iaitu KB Ampang Jaya, KB Petaling Jaya, KB Petaling serta KB Kepong bakal merebut dua lagi slot separuh akhir melalui aksi playoff.
Bagi KB Petaling Jaya yang juga merupakan juara bertahan SSPL, keputusan dalam saingan peringkat awal sebelum ini tidak dianggap sebagai ukuran sebenar pasukan mereka.
Jurulatihnya, Yeoh Kay Lun berkata, “Di Genting (Arena Of Stars) nanti, kita bakal mendapat khidmat dua pemain dari Korea Selatan iaitu Kim Sarang dan Kim Gi Jung. Selain itu, kita juga masih memiliki Goh Giap Chin dalam perseorangan lelaki serta juga Mek Narongrit dari Thailand untuk kategori sama.
Dalam acara perseorangan wanita pula, kita juga menggunakan khidmat pemain dari negara Thailand.
“Sementara dalam acara beregu campuran pula, kita mengharapkan gandingan Prajakta Sawant-K. Yogendran. Saya rasa kita tidak perlu risau dengan keputusan di peringkat kedua kerana pasukan kita tidak memiliki kekuatan seimbang berbanding beberapa pasukan lain,” kata Yeoh Kay Lun yang ditemui ketika perlawanan terakhir KB Petaling Jaya semasa peringkat kedua.
Pasukan yang berjaya menduduki tangga teratas SSPL bagi pusingan round robin, KB Puchong United pula sedang giat melakukan persiapan terakhir biarpun mereka sudah berjaya memperoleh tiket automatik ke separuh akhir kejohanan ini.
Pengurusnya, Irina Inozemtseva berkata, “Kami sedang sibuk menjalani persiapan terakhir ketika ini sama ada di dalam gelanggang ataupun juga di luar gelanggang. Saya rasa pemain sudah bersedia jika kita lihat semasa sesi latihan dengan jurulatih cuba mempelbagaikan kombinasi bagi mendapatkan barisan skuad terbaik semasa di peringkat terakhir nanti,”katanya.
Tambah Irina lagi, “Biarpun sudah mara ke separuh akhir ketika ini dan hanya perlu memenangi satu perlawanan sahaja untuk melangkah ke final, bagi saya ianya bukan jaminan mudah kerana situasi sebegitu mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri.
“Kelebihannya adalah kita hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk ke final dan tidak perlu mengambil risiko bermain secara playoff. Keburukannya pula adalah pasukan kami kesuntukan masa dari segi keyakinan dan penyesuaian diri di atas gelanggang kerana akan terus beraksi dalam perlawanan penting iaitu separuh akhir. Jadi, kami akan bergerak ke Genting lebih awal supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan situasi di sana nanti,” kata pengurus dari Russia itu.
Menerusi undian playoff baru-baru ini, juara bertahan SSPL, KB Petaling Jaya dijadualkan menentang KB Ampang Jaya manakala satu lagi playoff menyaksikan KB Petaling pula bertemu KB Kepong.
Menanti mereka di separuh akhir saingan itu nanti adalah KB Puchong United dan juga KB Cheras.
Juara SSPL musim ini akan menerima wang tunai RM520,000 sementara naib juara pula RM265,000.
Jadual peringkat akhir SS Purple League
8 Februari 2018
(4ptg) Playoff #1: KB Ampang Jaya lwn KB Petaling Jaya
(8mlm) Playoff #2: KB Petaling lwn KB Kepong
9 Februari 2018
(4ptg) Separuh Akhir #1: KB Puchong United lwn KB Ampang Jaya/KB Petaling Jaya
(8mlm) Separuh Akhir #2: KB Cheras lwn KB Petaling/KB Kepong
10 Februari 2018
(2ptg) Penentuan tempat ke-5/ke-6
11 Februari 2018
(12ptg) Penentuan tempat ke-3/ke-4
(4ptg) Perlawanan akhir