
SSTMI, Pahang and BJSS Thunderbolts triumph
April 17, 2017
BJSS Thunderbolt stump SSTMI
April 20, 2017
KUALA LUMPUR (18, April 2017): Juara bertahan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) Divisyen Satu musim lalu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt yakin untuk mempertahankan kejuaraan meskipun baru mengharungi dua perlawanan liga setakat ini.
Bertemu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolt dalam perlawanan kedua yang berlangsung sengit hari ini, SSTMI Thunderbolt meraih satu mata apabila seri 2-2 dalam masa penuh perlawanan. Apapun, mereka tewas 5-6 dalam penentuan penalti shoot-out.
Pengurus SSTMI Thunderbolt, Adam Izamry Idrus berkata pasukannya semakin mantap berbanding perlawanan pertama lalu meskipun nasib tidak memihak mereka pada perlawanan kali ini.
Adam berkata, “Secara keseluruhan, pasukan mempamerkan permainan yang lebih baik berbanding perlawanan pertama sebelum ini. Mereka mempamerkan momentum permainan yang begitu laju, cuma penyudah yang kurang tajam membuatkan kita gagal meraih mata penuh.
“Dari awal lagi, saya sudah menjangkakan ia perlawanan yang sengit kerana ia adalah ulangan perlawanan akhir Piala Remaja TNB tahun lepas dan kita tidak boleh meramal keputusan perlawanan untuk dua pasukan pilihan seperti ini,” katanya selapas tamat perlawanan tadi.
Biarpun sekadar mengutip satu mata, pengurus itu tetap optimis pasukan SSTMI Thunderbolt akan bangkit untuk perlawanan selepas ini sekaligus mempertahankan kejuaraan Divisyen Satu yang dimenangi pada musim lalu.
Dia berkata, “Apapun, untuk perlawanan selepas ini kita akan fokus menentang AHP-MSP Thunderbolt yang juga adalah pasukan kuat”.
“Biarpun baru dua perlawanan, kita sememangnya mempunyai keyakinan tinggi untuk pertahankan kejuaraan liga memandangkan liga masih panjang. Selepas ini pemain harus mengutip mata penuh dan tidak mengheret perlawanan sehingga ke penalti shoot out kerana ia merugikan,” tambah Adam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki SSTMI tadi, gol SSTMI Thunderbolt diperoleh menerusi dua gol padang Mohd Akhimullah Bin Anuar Essok pada minit ke-22 dan minit ke-59. Gol SSBJ Thunderbolt pula dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Ramdan Arifin pada minit ke-38 dan gol padang Faiq Razin Zariq pada minit ke-56.
Keputusan Penuh:
Div 1 Anderson Thunderbolt lwn AHP-MSP- Thunderbolt (ditunda atas faktor cuaca)
Div 1 BJSS Juniors 1-1 Politeknik Malaysia KPT (POLI menang penalti shoot out 3-4)
Div 1 SSTMI Thunderbolt 2-2 SSBJ Thunderbolt (SSBJ Thunderbolt menang penalti shoot out 6-5)
Div 2B SSMS Resilient 4-2 MSSWPKL