
THT tekad bangkit julang Piala TNB
February 21, 2017
THT escape from jaws of defeat
February 22, 2017
Kuala Lumpur (22 Februari): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB hari ini di Stadium Tun Razak, sekali gus belum memberikan sebarang jaminan untuk mereka layak ke pentas final.
Keputusan itu pastinya mengecewakan pasukan yang baru saja dinobatkan selaku juara Liga Perdana itu dan pada masa yang sama memberi ruang kepada TNB untuk bangkit semula pada separuh akhir kedua, Jumaat ini.
Mohd Syamim Mohd Yusof muncul wira KLHC apabila berjaya menampan bola masuk menewaskan penjaga gol TNB, S Kumar pada minit terakhir perlawanan.
Sebelum itu, KLHC dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi sebenar mereka hampir sebahagian besar perlawanan.
Sebaliknya TNB di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan Mohd Amin Rahim memberi saingan cukup sengit dan pada satu ketika mampu mengikat KLHC.
Kapten KLHC, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menegaskan kelebihan satu gol bukanlah satu kelebihan selesa untuk dibawa ke aksi timbal balik, Jumaat ini.
“Kami tidak bermain baik hari ini. Beberapa pergerakan tidak lancar seperti kebiasaan perlawanan-perlawanan kami sebelum ini.
“TNB sentiasa memberikan tentangan sengit kepada kami. Mereka mempunyai pemain berkualiti dengan semangat berpasukan yang kuat.
“Berjaya mendahului 1-0 adalah satu keputusan positif tetapi satu gol belum melegakan kerana dalam hoki, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Ia merupakan kemenangan pertama KLHC ke atas TNB dalam tiga pertemuan selepas terdahulu seri 2-2 dan 0-0 pada dua perlawanan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.
Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mengikat Terengganu Hockey Team (THT) 4-4.
Piala TNB
Keputusan separuh akhir pertama
KLHC 1 TNB 0
THT 4 UniKL 4