Kuala Lumpur (21 Februari 2017): Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia, Terengganu Hockey Team (THT) kini bertekad untuk cuba menjulang Piala TNB pula.
Bagi pemain tengah THT, Fitri Saari, dia serta rakan sepasukannya tidak mahu lagi berdepan kekecewaan dan berharap dapat melepasi saingan separuh akhir bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada separuh akhir pertama esok serta timbal balik, Jumaat ini.
“Memang rasa amat kecewa kerana kami gagal mempertahankan gelaran liga. Tapi inilah kenyataannya iaitu untuk memenangi kejuaraan itu lebih mudah daripada mempertahankannya.
“Sepanjang saingan liga, sememangnya kami mendominasi perlawanan tetapi ketumpulan di bahagian serangan banyak menjejaskan keputusan yang diraih.
“Harap perkara sama tidak berulang pada saingan separuh akhir nanti,” katanya.
Mengulas perlawanan dengan UniKL esok, Fitri berkata, dia serta rakan sepasukan masih mengingati bagaimana sukarnya untuk menewaskan lawan mereka itu pada saingan liga dengan perlawanan terakhir menyaksikan mereka sekadar meraih keputusan seri 2-2.
“Tapi untuk esok kami akan bermain habis-habisan. Kami perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan separuh akhir pertama,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, beliau mahu barisan pemainnya bermain secara bijak apabila bertemu THT.
“Untuk permulaan kami perlu pastikan harapan untuk beraksi di final masih cerah selepas berakhir separuh akhir pertama.
“Kami tidak boleh membiarkan lawan mendominasi perlawanan dan memenangi perlawanan esok dengan jaringan yang besar,” katanya.
Piala TNB
Esok (22 Februari 2017)
Separuh akhir pertama
KLHC lwn TNB, 6 ptg
THT lwn UniKL, 8 mlm
(Stadium Tun Razak)