![](https://shekhinah.my/wp-content/uploads/2017/02/Picture-1.jpg)
Europe stint for Dharmaraj’s Tigresses
February 18, 2017![](https://shekhinah.my/wp-content/uploads/2017/02/KLHC-Celebrations.jpg)
Ebeling late strike lands KLHC Premier League title
February 19, 2017![](https://shekhinah.my/wp-content/uploads/2017/02/PIC-03-KLHC-Celebrations.jpg)
KUALA LUMPUR (19 Februari 2017): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) muncul juara baharu Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) musim ini.
Ia hadir selepas kejayaan menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-2 pada aksi terakhir saingan liga musim ini di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam aksi itu, KLHC tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama menerusi Dedy Ariyadi Jumaidi seawal minit ketujuh.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila THT berjaya meledak gol penyamaan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jang Jong Hyun pada minit kesembilan.
THT memiliki dua peluang terbaik untuk mendahului pada suku masa kedua tetapi gagal menewaskan ketangkasan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin.
Roslan bertindak cemerlang menafikan percubaan daripada Azlan Misron dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil, masing-masing pada minit ke-26 serta 28.
KLHC berjaya memanfaatkan sepenuhnya kekalutan di hadapan gawang THT untuk menjadikan kedudukan 2-1 menerusi gol padang Nabil Fiqri Mohd. Noor pada minit ke-43.
THT sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Tengku Ahmad Tajuddin hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-51.
Tonggak import dari Jerman, Anton Poul Fritz Ebeling muncul wira KLHC apabila meledak gol kemenangan 3-2 menerusi pukulan sudut penalti pada hujung perlawanan tersebut.
Ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri mengaku ia merupakan kejayaan manis buat skuad kendaliannya yang kali terakhir muncul juara liga pada empat tahun lalu.
“THT sebuah pasukan yang kuat tetapi strategi saya malam ini menjadi. Para pemain mengekalkan semangat dan keyakinan untuk perlawanan ini.
“Saya pernah kalah dengan THT dalam saingan Piala Tan Sri P. Alagendra musim ini. Ini merupakan kemenangan manis buat kami,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan KLHC melonjak ke tangga teratas dengan 36 mata, tiga mata mengatasi THT yang terpaksa berpuas hati dengan status selaku naib juara liga musim ini.
Sementara itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengesahkan tempat ketiga saingan TNBMHL musim ini selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0 pada aksi sebelah petang tadi.
Gol tunggal pasukan bimbingan Arul Selvaraj itu dijaringkan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-12.
Kekalahan itu menyaksikan TNB terpaksa berpuas hati menamatkan aksi liga musim ini pada tempat keempat.
Liga Premier
Keputusan
TNB 0 UNIKL 1
SSTMI 2 TNB THUBDERBOLTS 1
MAYBANK 3 UITM-KPT 1
KLHC 3 THT 2