
KB Petaling Akhiri Kempen SSPL 2016/17 Di Kedudukan Kelima
February 11, 2017
Petaling Jaya BC Crowned SSPL 2016/17 Champions!
February 12, 2017
GENTING HIGHLANDS (12 Februari, 2017): Gelaran juara SS Purple League (SSPL) 2016/17 sah menjadi milik pasukan Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya selepas mereka menundukkan KB Puchong United 13-9 di Arena Of Stars, Resorts World Genting tadi.
Kejayaan itu bermakna KB Petaling Jaya yang menduduki tangga kedua Purple League pada musim lalu muncul juara SSPL buat julung kali selepas KB Muar City menang dalam dua edisi berturut-turut sebelum ini.
Dalam perseorangan lelaki, pemain KB Puchong United ,Chou Tien Chen terlebih dahulu meletakkan pasukannya di depan apabila bangkit menumpaskan wakil KB Petaling Jaya, Dani Harsheel dengan keputusan 6-11, 8-11, 11-3, 11-7, 11-8 (3-2).
KB Puchong United terus memungut mata pendahuluan selepas itu. Kali ini giliran pemain perseorangan wanita mereka, Tai Tzu Ying pula mengalahkan pemain KB Petaling Jaya, Deng Xuan 10-11,9-11, 11-9, 11-8, 5-0 (3-2) dalam tempoh 30 minit permainan.
Perlawanan terus berlangsung sengit selepas itu. Gandingan beregu lelaki KB Petaling Jaya, Kim Sarang/ Koo Kien Keat kembali meletakkan pasukannya di hadapan mendahului kutipan mata 7-6. Mereka garang menumpaskan gandingan KB Puchong United, Lim Khim Wah/ Tan Chee Tean dengan keputusan 11-5, 11-9, 11-9 (3-0).
Aksi beregu campuran menyaksikan wakil KB Petaling Jaya, Shin Baek Cheol/ Woon Khe Wei terus mengukuhkan kedudukan pasukan itu melalui kemenangan 5-11, 11-8, 11-9, 9-8 (3-1) ke atas Christinna Pedersen/ Yoo Yeon Seong sekaligus menjadikan pungutan mata menjadi 10-7 memihak mereka.
Goh Giap Chin yang turun dalam acara perseorangan lelaki selepas itu hanya perlu mencari satu mata bagi memastikan kemenangan menjadi milik pasukan KB Petaling Jaya. Dia menceriakan kem KB Petaling Jaya apabila menang mengatasi pemain KB Puchong United, Soo Teck Zhi 11-4, 11-8, 7-11, 9-11, 11-8 (3-2) sekaligus mengesahkan kejuaraan SSPL 2016/17 buat pasukan itu musim ini.
Pengurus KB Petaling Jaya, Manoj Kumar menyimpulkan bahawa semangat berpasukan tinggi yang dimiliki KB Petaling Jaya telah membawa pasukan itu sampai ke tahap ini.
Manoj berkata, “Sudah tentulah semangat berpasukan yang menjadi kunci kejuaraan ini. Kami merupakan pasukan underdog berbanding beberapa pasukan lain tetapi komitmen serta semangat berpasukan itulah membawa kami muncul juara SS Purple League serta mengalahkan beberapa pasukan besar seperti KB Petaling, KB BU Dragons dan KB Puchong United.
“Mereka mempunyai pemain bintang tetapi kami ada pemain yang sentiasa berusaha dalam setiap perlawanan seperti Goh Giap Chin, Koo Kien Kiet, Deng Xuan dan kesemuanya,” kata Manoj selepas perlawanan.
Sementara itu, dalam penentuan tempat ke 3/4 yang berlangsung pada sebelah tengah hari menjadi milik KB Muar setelah mereka menumpaskan KB Bandar Utama Dragons 11-6.
KB Muar meraih kemenangan dalam perseorangan lelaki melalui Zulfadli Zulkifli yang mengatasi Emil Holst 3-2, menang melalui acara beregu lelaki 3-0 melalui gandingan Lee Yong Dae/ Tan Wee Gieen ke atas gandingan Mak Hee Chun/ Ou Xuanyi.
Seterusnya, pasangan beregu campuran KB Muar, Chan Peng Soon/ Lee Hyo Jung melengkapkan kemenangan KB Muar dengan keputusan 3-1 mengatasi Chow Pak Chuu/ Yap Zhen.
Pengurus KB Muar, M. Jivannathan bagaimanapun mengakui agak kecewa gagal mempertahankan namun beliau memuji semangat berpasukan yang dipamerkan oleh pemainnya sepanjang kejohanan.
Jivannathan berkata, “Tempat ketiga sebenarnya tidak cukup kepada kami tetapi kerana kami mensasarkan untuk menjadi juara, apapun ia juga menggembirakan kerana kita sentiasa berjuang bersama-sama sebagai satu pasukan dalam KB Muar.
“Saya rasa apabila kami tidak bermain di suku akhir kerana terus layak secara automatik ke separuh akhir, ia sedikit sebanyak menyukarkan pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.
Ketiadaan Lee Hyun Il juga memberi kesan pada pasukan. Apapun kami berharap akan kembali dengan lebih mantap pada musim hadapan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tadi.
Kejohanan SSPL 2016/17 menawarkah hadiah keseluruhan bernilai RM1.5 juta dan juara SSPL membawa pulang wang tunai RM500, 000, naib juara RM250, 000 sementara pemenang tempat ketiga pula meraih RM170, 000.
Keputusan Penuh SS Purple League 2016/17
Final (2pm)
KB Puchong United kalah kepada KB Petaling Jaya 9-13
MS1: Chou Tien Chen kalahkan Dani Harsheel Alpesh 3-2 (6-11, 8-11, 11-3, 11-7, 11-8)
WS: Tai Tzu Ying kalahkan Deng Xuan 3-2 (10-11, 9-11, 11-9, 11-8, 5-0)
MD: Lim Khim Wah-Tan Chee Tean kalah kepada Kim Sarang-Koo Kien Keat 0-3 (5-11, 9-11, 9-11)
XD: Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong kalah kepada Shin Baek Cheol-Woon Khe Wei 1-3 (11-5, 8-11, 9-11, 8-9)
MS2: Soo Teck Zhi kalah kepada Goh Giap Chin 2-3 (4-11, 8-11, 11-7, 11-9, 8-11)
Penentuan tempat ke 3/4 (10am)
KB Muar kalahkan KB Bandar Utama Dragons 11-6
MS1: Zulfadli Zulkiffli kalahkan Emil Holst 3-2 (9-11, 11-8, 4-11, 11-8, 2-1)
WS: Shen Ya Ying kalah kepada Zhang Beiwen 2-3 (8-11, 10-11, 11-10, 11-5, 7-11)
MD: Lee Yong Dae-Tan Wee Gieen kalahkan Mak Hee Chun-Ou Xuanyi 3-0 (11-8, 11-7, 11-9)
XD: Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung kalahkan Chow Pak Chuu-Yap Zhen 3-1 (11-9, 6-11, 11-9, 11-6)
Kedudukan Keseluruhan SSPL 2016/17
Juara: KB Petaling Jaya
Naib Juara: KB Puchong United
Tempat Ketiga: KB Muar
Tempat Keempat: KB BU Dragons
Rempat Kelima: KB Petaling
Tempat Keenam: KB Ampang Jaya
Tempat Ketujuh: KB Kepong
Tempat Kelapan: KB Serdang
Tempat Kesembilan: KB Bangsar Hawks
Tempat Kesepuluh: KB Klang City