SSPL 2016/17: KB Puchong United “Tempuh Seri” Sebelum Menang
December 20, 2016Dream Start for BU Dragons BC
December 21, 2016KUALA LUMPUR (21 Disember, 2016): Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2016/17 apabila bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan KB Petaling dengan keputusan 10-8 sebentar tadi.
Pemain perseorangan lelaki, Kenichi Tago dari Jepun menghadiahkan kemenangan pertama pasukan KB Petaling selepas mudah mengatasi pemain Hong Kong, Wei Nan dengan keputusan 11-2, 11-7, 11-8 (3-0) dalam perlawanan pertama.
Selepas itu perseorangan wanita KB Petaling, Hera Desiana Rachmawati meneruskan rentak cemerlang pasukannya apabila menang 7-11, 11-9, 11-5, 7-2 (3-1) mengatasi pemain KB Bandar Utama Dragons, Chiang Mei Hui.
Apapun dalam kategori beregu lelaki, gandingan Tan Wee Kiong/Chooi Kah Ming berjaya mencuri mata pertama untuk pasukan KB Bandar Utama Dragons apabila berjaya mengalahkan Chen Tang Jie/ Goh V Shem dengan keputusan 11-9, 10-11, 11-8, 11-7 (3-1) untuk merapatkan kedudukan kepada 4-7.
Penguasaan KB Bandar Utama Dragons berterusan selepas itu. Dalam persaingan beregu campuran, mereka sekali lagi bangkit untuk mencatatkan kemenangan menerusi gandingan Chow Mei Kuan/ Markis Kido yang menudukkan beregu campuran KB Petaling, Agripinna Prima/Devi Tika Permatasari dengan kiraan 11-5, 11-7, 11-8 (3-0).
Kebangkitan KB Bandar Utama Dragons itu sekaligus mengikat kedudukan mata 7-7 buat kedua-dua pasukan.
Pemain perseorangan lelaki dari Indonesia, Tommy Sugiarto berjaya menumpaskan Iskandar Zulkarnain dalam set terakhir sekaligus mengesahkan kebangkitan gemilang pasukan KB Bandar Utama Dragons. Dalam perlawanan mendebarkan itu, Tommy mengatasi Iskandar dengan keputusan 11-7, 11-6, 5-11, 5-4 (3-1) dalam tempoh 30 minit.
Bagi Tommy Sugiarto, walaupun format SSPL agak mencabar namun dia tetap berpuas hati kerana mengutip mata penting buat pasukannya. Tommy berkata, “Perlawanan 30 minit ini baru untuk saya, apapun ianya mendebarkan dan menarik. Saya harap akan membaiki kelemahan dan terus konsisten untuk membantu pasukan KB Bandar Utama Dragons ke pentas akhir,” kata pemain berusia 28 tahun dari Indonesia itu.
Bagi jurulatih KB Bandar Utama Dragons, Tan Bin Shen menganggap kemenangan itu adalah kerana pemainnya yang sentiasa mempamerkan semangat tinggi dalam perlawanan setakat ini. Dia berkata, “Saya rasa kebangkitan tadi adalah bermula dari beregu lelaki. Itulah turning point kepada pasukan KB Bandar Utama Dragons.
“Kita sudah mencatatkan dua kemenangan, jadi saya harap kita akan terus fokus ke peringkat enam pasukan terbaik dulu. Dengan dua kemenangan dan mata yang tinggi, saya harap pemain akan kekal dengan semangat tinggi untuk menang setiap perlawanan,” ujar Bin Shen selepas tamat perlawanan.
Saingan peringkat liga round robin SSPL sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras pada 2 hingga 8 Januari. Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands. Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.
Keputusan Penuh:
KB Petaling kalah kepada KB BU Dragons 8-10
MS2: Kenichi Tago kalahkan Wei Nan 3-0 (11-2, 11-7, 11-8)
WS: Hera Desiana Rachmawati kalahkan Chiang Mei Hui 3-1 (7-11, 11-9, 11-5, 7-2)
MD: Chen Tang Jie-Goh V Shem kalah kepada Chooi Kah Ming-Tan Wee Kiong 1-3 (9-11, 11-10, 8-11, 7-11)
XD: Agripinna Prima Ramanto-Devi Tika Permatasari kalah kepada Chow Mei Kuan-Markis Kido 0-3 (5-11, 7-11, 8-11)
MS1: Iskandar Zulkarnain kalah kepada Tommy Sugiarto 1-3 (7-11, 6-11, 11-5, 4-5)