SSBJ Juara Sulung Piala Thunderbolts
November 6, 2016Stepping up the gear in Melbourne
November 14, 2016Kuala Lumpur (10 November, 2016): Penganjuran TNB Piala Thunderbolts yang julung kalinya diadakan di Stadium Hoki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor mendapat pujian daripada kesemua lapan pasukan bertanding.
Kejohanan anjuran pembekal tenaga elektrik terbesar negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dimenangi oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu menetapkan penanda aras yang tinggi dalam mencari pemain muda berbakat seiring dengan projek pembangunan mereka iaitu Program Thunderbolts.
Empat sekolah terdiri daripada SSTMI, SMK Anderson Ipoh, Sekolah Sukan Pahang dan SSBJ hadir sebagai pasukan di bawah Program Thunderbolts. Empat lagi pasukan jemputan yang menyertai kejohanan ini ialah Pasukan Pembangunan Singapura, SMK Datuk Bentara Luar Batu Pahat (Sekolah Sukan Negeri Johor), Sekolah Sukan Malaysia Sabah, dan juga Selangor.
SSBJ muncul juara sulung selepas menumbangkan Sekolah Sukan Malaysia Sabah 7-1 dalam aksi akhir. Kejuaraan ini merupakan piala kedua SSBJ dalam sukan hoki tahun ini selepas turut menjuarai Hoki Piala Remaja TNB 2016.
Apapun, selaras dengan slogan “Penggerak Kemajuan Negara”, kejohanan TNB Piala Thunderbolts dijangka lebih menarik pada tahun hadapan dengan perancangan untuk menjemput pasukan dari luar negara menyertai saingan ini.
“Kami akan cuba melakukan sehabis baik untuk menjemput pasukan dari Korea, Jepun, Singapura, dan India tahun depan. Ia memberikan peluang kepada pemain kita untuk bersaing dengan lawan-lawan yang kuat dalam lingkungan umur ini,” kata Ketua Penyelaras Program Thunderbolts TNB, Nur Saiful Zaini.
“Kita sudah melihat permainan hoki yang menarik dari semua pasukan termasuk Singapura dalam pertandingan empat hari itu. Pasukan seperti Sekolah Sukan Pahang, Singapura, Sabah dan Anderson sekalipun menunjukkan permainan yang kurang menarik pada perlawanan pertama tetapi beransur-ansur meningkat selepas itu.”
“Tahap keyakinan mereka juga meningkat apabila berhadapan pasukan yang kuat seperti SSTMI dan SSBJ. Sabah juga mengalahkan SSTMI dalam separuh akhir dan ia menunjukkan bagaimana mereka bangkit selepas bersedia dari segi sudut mental,” kata Nur Saiful lagi yang merupakan Ketua Jurulatih TNB Thunderbolts dalam saingan TNBMHL Divisyen Satu.
Ketua Jurulatih Singapura, K. Rajan pula mahukan lebih banyak aksi pasukan mudanya untuk berhadapan dengan Malaysia dan baginya kejohanan seperti Piala Thunderbolts adalah satu platform yang tepat.
“Di Singapura, tidak ada banyak kejohanan untuk pemain muda mendapat pengalaman dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan TNB Thunderbolts kerana menjemput kami ke sini. Ia adalah satu pengalaman berguna kepada pemain dan saya harap kita akan dijemput lagi untuk bermain dalam kejohanan ini,” kata Rajan yang juga merupakan bekas pemain hoki Malaysia.
Walaupun SSBJ telah dinobatkan sebagai juara pada edisi sulung Piala Thunderbolts kali ini, namun pasukan lain seperti SSTMI dijangka akan kembali dengan lebih mencabar pada tahun hadapan.
TNB Piala Thunderbolts diadakan serentak dengan kejohanan Piala Sultan Johor yang menampilkan pasukan seperti Pakistan, England, Australia, New Zealand, Jepun dan B-21 Malaysia.
“Semua perlawanan Piala Thunderbolts tamat pada pukul 4.00 petang dan pemain dari kesemua pasukan boleh pergi menonton saingan Piala Sultan Johor pada sebelah malam. Ini juga adalah satu pengalaman tambahan kepada pemain muda,” tambah Nur Saiful.
Kedudukan Piala Thunderbolts:
Juara: Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)
Naib Juara: Sekolah Sukan Malaysia Sabah
Ketiga: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI)
Keempat: Datuk Bentara Luar Batu Pahat (Sekolah Sukan Johor)