BJSS inaugural Thunderbolts Cup champions
November 6, 2016Piala Thunderbolts – Saingan Lebih Sengit Tahun Depan
November 10, 2016Bandar Penawar (6 November, 2016): Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) “mengganas” apabila membelasah Sekolah Sukan Sabah 7-1 sekaligus muncul juara sulung Piala Thunderbolts dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sebentar tadi.
SSBJ menumpaskan sekolah sukan dari Borneo itu menerusi tiga jaringan daripada Muhammad Noor Firdaus, dua jaringan daripada Faiq Razin Zariz sementara Ahmad Fauzam Jauhari dan Md Zulrasyad Hilmie masing-masing menyumbang satu gol untuk kemenangan besar pasukan itu.
Lebih manis Muhammad Noor Firdaus turut dianugerahkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol secara keseluruhan daripada pemain berbakat itu.
Nasrul Syakhir Sadikul menjaringkan satu gol untuk pasukan Sekolah Sukan Sabah menerusi jaringan padang pada minit ke-28 selepas SSBJ mendahului 2-0 sehingga tamat suku pertama permainan.
Sebelum itu, Sekolah Sukan Sabah yang menghuni tangga kedua di belakang SSBJ dalam saingan Kumpulan B, mara ke akhir selepas menumpaskan pasukan tuan ruman, SSTMI 3-2 dalam peringkat separuh akhir.
SSTMI yang merupakan juara TNB Liga Remaja Kebangsaan 2016 pula meraih tempat ketiga selepas menang 4-2 ke atas SMK Datuk Bentara Luar, Batu Pahat (sekolah projek hoki negeri Johor).
Piala Thunderbolts yang berlangsung serentak dengan saingan Piala Sultan Johor 2016 merupakan satu platform untuk TNB membangunkan serta mencari barisan muda berbakat untuk masa depan sukan hoki.
Selain empat pasukan di bawah Program Thunderbolts TNB iaitu, SSBJ, SSTMI, SMK Anderson, Sekolah Sukan Pahang yang menyertai kejohanan ini, empat pasukan jemputan adalah Sekolah Sukan Sabah, Sekolah Sukan Johor, Selangor dan skuad pembangunan Singapura.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Johor (Bahagian Pembangunan), Datuk Haji Baderul Sham Said turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir adalah Ketua Unit Sukan TNB, Nur Saiful Zaini, Presiden Hoki Daerah Kluang, Samsulharul Anuar dan Pengetua SSTMI, Suhaimi Sun Abdullah.
“TNB sudah beberapa tahun membantu dalam pembangunan sukan hoki di negara ini dan pengajuran Piala Thunderbolts adalah satu lagi peluang untuk empat pasukan bawah program Thunderbolt meningkatkan skill mereka. Kami mengalu-alukan pasukan jemputan iaitu pasukan pembangunan Singapura, Sekolah Sukan Sabah, Sekolah Sukan Johor, dan Selangor,” kata Datuk Baderul
“Kejohanan ini patut dijadikan satu landasan kepada semua pemain untuk memperoleh pengalaman dan meningkatkan mutu permainan. Banyak benda yang boleh dipelajari daripada pasukan-pasukan kuat yang beraksi dalam kejohanan ini,” ujar Datuk Baderul lagi.
Keputusan – Final: BJSS 7 Sabah Sports School 2; Tempat 3 & 4: SSTMI 4 Johor Sports School 2.