TNB, Genting and Waz Lian Group joins the fray
October 13, 2016Van Huizen: Tigers can exploit Pakistan
October 19, 2016Pakaian sukan terkemuka, Kappa menaja pasukan senior lelaki dan wanita
Kuala Lumpur (13 Oktober, 2016): QNET Trofi Juara-Juara Asia Ke-4 yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang sekali lagi berjaya menarik minat beberapa penaja untuk turut serta menaja kejohanan hoki utama di Asia itu.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sinonim dengan program pembangunan hoki, Genting Malaysia, Waz Lian Group of Companies telah bersetuju menjadi rakan penaja untuk kejohanan QNET Trofi Juara-Juara Asia (lelaki) 2016.
Jumlah tajaan TNB adalah RM300,000 untuk kejohanan QNET Trofi Juara-Juara Asia yang akan berlangsung pada 20-30 Oktober ini di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan sementara Genting Malaysia dan Waz Lian Group of Companies pula masing-masing menaja sebanyak RM50, 000.
Waz Lian Group of Companies adalah antara sebuah syarikat yang pakar dalam bidang hartanah, pelancongan dan tenaga elektrik di Malaysia.
Walau bagaimanapun, syarikat jualan langsung, QNET tetap merupakan penaja utama untuk kejohanan edisi keempat Trofi Juara-Juara Asia ini memandangkan penajaan mereka adalah terbesar dengan jumlah tajaan sebanyak RM500,000. Penajaan ini juga bermaksud ia adalah julung kalinya kejohanan ini mendapat penaja utama sejak ianya dilangsungkan sejak enam tahun lalu.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Sri Subahan Kamal menganggap penglibatan TNB, Genting Malaysia dan Waz Lian Group dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia kali ini adalah satu dorongan besar dan MHC selaku tuan rumah amat berterima kasih atas sokongan padu penaja.
“Kami begitu teruja dengan penglibatan banyak penaja dalam kejohanan hoki elit di Asia ini dan MHC begitu yakin peminat akan dapat merasai satu kejohanan yang berkualiti tinggi daripada semua pasukan yang mengambil bahagian,” kata Dato’ Sri Subahan sambil menambah sukan ini semakin berkembang melalui sokongan padu peminat tempatan.
Presiden MHC itu turut mengumumkan, jenama pakaian sukan terkemuka dari Itali iaitu Kappa akan menaja pasukan senior kebangsaan lelaki dan wanita selama dua tahun dengan jumlah penajaan sebanyak RM700,000.
Bakal menggunakan format round-robin, QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 bakal menampilkan enam pasukan terbaik dalam Sukan Asia lalu iaitu Pakistan, India, Malaysia, China, Jepun dan juga Korea.
Setakat ini, Pakistan dan India adalah pasukan yang paling menonjol dalam penyertaan mereka dalam Trofi Juara-Juara Asia dengan Pakistan unggul menjadi juara pada tahun 2012 dan 2013 manakala India pula menjadi juara sulung pada tahun 2011. Malaysia pula merangkul tempat ketiga dalam kesemua edisi sebelum ini.
Kejohanan sulung sebelum ini dilangsungkan di Ordos, China pada 2011 diikuti Doha, Qatar pada 2012 dan Kakamigahara, Jepun menjadi tuan rumah untuk edisi pada tahun 2013.
Skuad senior kebangsaan di bawah kendalian Stephen Van Huizen yang baru tiba dari Perth, Selasa lalu meraih tempat keenam daripada kesemua dua belas pasukan dalam Liga Hoki Australia. Malaysia akan menentang pasukan Pakistan dalam perlawanan pertama pada 20 Oktober nanti manakala India akan berdepan Jepun dalam perlawanan kedua.
Buat julung kalinya, FIH akan memberikan kutipan mata ranking dunia buat pasukan bertanding dalam Trofi Juara-Juara Asia.