TNB LHM 2020: UniKL Kukuhkan Cengkaman Di Tangga Teratas Liga
January 31, 2020Karnival Semarak Juara 2020 bakal hangatkan SUKMA XX Johor 2020
February 5, 2020KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) bangkit daripada kekecewaan tewas kepada UniKL, Jumaat lalu selepas mengatasi TNB Thunderbolts dengan keputusan 11-2 dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 yang berlangsung pada Ahad.Memasuki pusingan kedua liga, TNB tiada pilihan melainkan perlu mendapatkan kemenangan sekiranya ingin mengejar pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin nyata memiliki semangat juang yang tinggi.
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan buat TNB pada minit kelima menerusi jaringan padang dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak hatrik dalam perlawanan ini.
Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pula masing-masing menymbang dua gol dengan Thunderbolts membalas menerusi jaringan Muhammad Muhibuddin Moharam dan Nasrul Syahkhir Sadikul.
Kemenangan ini menyaksikan TNB mengumpul keseluruhan 19 mata daripada 8 perlawanan namun masih ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, UniKL.
“Kemenangan ini membangkitkan semula semangat kami selepas dikecewakan UniKL dan kali ini pemain memanfaatkan sepenuhnnya peluang bagi mendapatkan jaringan yang sebelum ini sedikit mengecewakan kami,” jelas Nor Saiful.
Manakala UniKL terus mengekalkan rentak kemenangan untuk lapan perlawanan berturut-turut dengan mengatasi Terengganu Hockey Team (THT) 2-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu.
Perlawanan tumpuan ini menyaksikan THT cuba untuk menyekat rentak kemenangan UniKL bagi merapatkan jurang mata.
Namun pelawat lebih menyerlah apabila pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan UniKL di hadapan sebelum jaringan padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mengesahkan tiga mata penuh buat pasukannya.
“Tiga mata dan kemenangan di tempat lawan, THT bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan di tempat mereka sendiri, saya gembira kami masih mampu mengekalkan rekod tanpa kalah ini.
“Kemenangan ini juga merupakan hadiah daripada pasukan UniKL kepada pemain kami, Baljit Singh yang tidak menyertai pasukan kerana menyambut kelahiran anak perempuan, hari ini,” jelas pengendali UniKL, Arul Selvaraj ketika dihubungi.
“Saya tidak menjangkakan lawan akan mendapat pukulan sudut penalti yang memberikan gol pertama buat mereka tetapi itu keputusan yang perlu saya terima.
“Kami lebih agresif dalam suku terakhir untuk mendapatkan jaringan tetapi situasi tersebut sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya oleh UniKL bagi memperoleh gol kedua,” ujar pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Dalam pada itu, Kedah/Nurinsafi HT meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM HA) dengan keputusan 4-2.
Mereka bagaimanapun ketinggalan seawal minit pertama apabila Miyu Tanimitsu peroleh jaringan buat UiTM.
Nurinsafi pamer kebangkitan selepas itu, dimulakan dengan jaringan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-17 sebelum Muhammad Azfar Yaqoob memperoleh dua jaringan, satu daripadanya menerusi penalty stroke pada minit ke-25.
Melengkapkan kemenangan Nurinsafi adalah jaringan keempat oleh Mohd Norhafizie Jamil Azomi hasil gol padang, 10 minit sebelum tamat permainan.
Perlawanan lain menyaksikan Maybank memperoleh kemenangan ke-5 musim ini apabila mengatasi Hockademy KL dengan keputusan 3-2
Jaringan Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Hafizhudin Zaidi serta Joel Samuel Van Huizen membantu kemenangan Maybank sekaligus meraih tiga mata penuh.