Pertembungan Pembuka Tirai Memihak UniKL Untuk Raih Gelaran Sumbangsih
January 10, 2020TNB LHM 2020: UniKL, Maybank & TNB Kekalkan Momentum Kemenangan
January 12, 2020KUALA LUMPUR (12 JANUARI 2020): Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah mula mengatur langkah bagi mengangkat Hoki 5’s ke tahap yang lebih tinggi dan perancangan awal telah dibuat selepas berakhirnya mesyuarat pertama Jawatankuasa Prestasi Tinggi dan Hoki 5’s, yang berlangsung semalam di pejabat KHM.Antara fokus utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah untuk memastikan setiap persatuan hoki negeri mempunyai jawatankuasa Hoki 5’s, penganjuran seminar Hoki 5’s, perancangan untuk mengadakan satu kejohanan jemputan bertaraf antarabangsa dan karnival sempena Bulan Sukan Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Tinggi dan Hoki 5’s, En.Hasnizam Hassan mahu Hoki 5’s diterapkan dari peringkat akar umbi dan berharap kolaborasi antara KHM serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melahirkan rasa minat terhadap Hoki 5’s dikalangan murid sekolah.
“Mesyuarat pertama yang berlangsung semalam berjalan dengan baik dan diperingkat jawatankuasa kami sudah mula merangka beberapa program untuk dilaksanakan.
“Antara yang dibincangkan adalah untuk memastikan setiap persatuan hoki negeri mempunyai jawatankuasa Hoki 5’s kerana ia penting bagi memastikan matlamat kami iaitu untuk membudayakan Hoki 5’s di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.
“Ini sangat berkait dengan peringkat persatuan negeri kerana mereka juga akan memainkan peranan penting untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.
“Saya turut melihat bahawa Hoki 5’s ini akan membuka ruang kepada semua pihak terutamanya pihak sekolah yang mempunyai keluasan padang hoki yang terhad untuk menarik minat murid-murid bermain hoki.
“Kita semua sedia maklum KHM dan KPM mempunyai jalinan kerjasama yang cukup baik jadi saya berharap satu kolaborasi dapat dibentuk bagi menyebarkan maklumat serta ilmu tentang Hoki 5’s kerana sasaran kami adalah untuk memupuk minat dari peringkat sekolah.
“Kami juga telah merancang untuk menjalankan seminar pada penghujung Februari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di mana ianya akan melibatkan wakil-wakil jurulatih serta pengadil dari setiap negeri dan akan berlangsung selama dua hari,” ujar En. Hasnizam.
Antara perancangan lain yang mahu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Jawatankuasa Prestasi Tinggi dan Hoki 5’s, dalam tahun ini adalah melibatkan kerjasama antara KHM dan Persatuan Hoki Negeri Terengganu bagi menganjurkan Kejohanan Jemputan Hoki 5’s Terengganu International yang dijangka akan berlangsung pada Ogos nanti.
Selain itu bersempena Bulan Sukan Negara, satu kejohanan berbentuk karnival melibatkan peringkat usia 11 hingga 15 tahun juga akan dianjurkan.
Untuk rekod, Malaysia Berjaya cipta sejarah dengan muncul selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 buat kali pertama bagi kategori lelaki dalam acara Hoki 5’s pada Temasya Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires.