
Perak Terus Bergelut Dapatkan Rentak, Peluang Ke Separuh Akhir Tipis
September 22, 2019
Kuala Lumpur Sahkan Tempat Ke Separuh Akhir, Perak Akhirnya Peroleh Kemenangan
September 23, 2019
Skuad hoki lelaki negara memulakan aksi persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Korea Selatan dengan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Kebangsaan, Jincheon Korea Selatan.Kemenangan pasukan negara hari ini diraih menerusi dua jaringan pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim.
Empat aksi persahabatan telah diatur sepanjang skuad negara di sana bertemu pasukan yang sama dan perlawanan pertama yang berlangsung hari ini, Razie Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-34 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti menerusi flik terus sekaligus menewaskan penjaga gol Korea sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-37 juga menerusi gerakan yang sama.
Korea bagaimanapun berjaya mencuri satu gol pada minit ke-44 hasil gol pukulan sudut penalti oleh pemain yang beraksi bersama Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong-hyun dan kedudukan 2-1 berpihak skuad negara kekal sehingga wisel penamat.
Pengendali negara, Roelant Oltmans melihat kedua-dua pasukan berjaya mempersembahkan corak permainan yang baik cuma kelebihan pukulan sudut penalti membezakan skuad bimbingannya dan pasukan lawan.
“Pemain berjaya untuk mengawal perlawanan hari ini dengan baik selain kedua-dua pasukan mempamerkan struktur permainan yang bagus cuma kedua-dua pasukan tidak banyak mencipta gerakan yang boleh menjaringkan gol.
“Perbezaan kami dan pasukan lawan hari ini adalah pukulan sudut penalti di mana kami menjaringkan dua daripada empat pukulan sudut penalti yang diterima sementara lawan yang memiliki tiga kelebihan pukulan sudut penalti hanya menjaringkan satu daripadanya.
“Untuk pertemuan kedua esok, saya mahu pemain bermain dengan corak yang sama tetapi membuat keputusan yang lebih baik ketika melakukan serangan,” jelasnya.
Skuad negara akan turun bertemu pasukan yang sama esok untuk aksi kedua jam 3.30 petang waktu Malaysia.