Johor poised for another SUKMA spectacle after more than two decades
August 7, 2019Indonesian teams dominate Junior Soccer Tournament
August 9, 2019Aksi ujian keempat Malaysian Tigers dalam Siri Jelajah Eropah menyaksikan skuad negara terpaksa akur tewas 2-6 kepada Belanda pada pertemuan yang berlangsung di Breda, Belanda malam tadi.
Malaysia masih mempunyai baki dua lagi aksi ujian yang akan dilalui kali ini bertemu pasukan di ranking kedua dunia, Belgium dan perlawanan tersebut akan berlangsung jam 12 tengah malam ini serta Isnin depan jam 6 petang waktu Malaysia.
Bertemu pasukan yang sama untuk kali kedua, ke semua jaringan yang terhasil adalah berpunca daripada jaringan padang dan Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi penyerang muda, Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum jaringan tersebut segera disamakan oleh Bjorn Kellerman pada minit kelapan.
Sebelum wisel separuh masa dibunyikan, Belanda menambah dua lagi jaringan menerusi Bjorn Kellerman sekali lagi pada minit ke-19 dan beberapa saat sebelum tamat aksi separuh masa pertama, Jeroen Hertzberger menambah satu lagi gol untuk kedudukan berubah 3-1.
Tiga minit sejurus aksi suku ketiga bersambung, Belanda terus menggandakan jaringan kali ini menerusi Billy Bakker dan berselang empat minit kemudian, giliran Jelle Galema untuk terus melebarkan jurang jaringan.
Malaysia cuba untuk bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-52 apabila Akhimullah Anuar Esook sekali lagi mencatat nama selaku penjaring namun Bjorn Kellerman menidakkan usaha skuad negara untuk cuba merapatkan kedudukan dengan meledak jaringan hatrik dua minit sebelum aksi sebenar berakhir untuk kedudukan 6-2 kekal berpihak tuan rumah.
Ketika diminta untuk mengulas pertemuan kedua dengan Belanda, pengendali negara, Roelant Oltmans menyifatkan kebuntuan untuk menterjemahkan 15 percubaan dalam separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum oleh lawan.
“Kami beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kami tidak menggunakan 15 percubaan yang dimiliki dengan sebaiknya sementara lawan kami berjaya menggunakan peluang-peluang mereka untuk menjaringkan gol.
“Seperti yang pernah saya katakan selepas tamat perlawanan pertama kami dengan mereka, Belanda adalah pasukan yang pastinya akan menghukum lawan menerusi setiap kesilapan yang dilakukan.
“Tetapi apa yang penting untuk kami adalah belajar daripada kesilapan serta kelemahan pada perlawanan ini dan tunjukkan satu peningkatan pada dua perlawanan terakhir kami dalam Siri Jelajah ini iaitu bertemu Belgium,” jelasnya.