
Mitchell bags Honda Rookie Challenge award
May 24, 2019
Mitchell bags Honda Rookie Challenge award
May 25, 2019
Menjelang Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019, Ireland, bermula 8 hingga 16 Jun 2019, yang menawarkan dua tiket ke perlawanan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, Skuad Hoki Wanita Kebangsaan memilih untuk berlepas awal sebagai persediaan menjelang aksi penting itu selain menjadikan Itali dan Scotland selaku destinasi pemanas badan mereka.
Malaysian Tigress akan menyertai Kejohanan Tiga Penjuru yang turut disertai oleh Itali dan Sepanyol sebelum ke Glasgow, Scotland, pada 1 Jun untuk melengkapkan baki perlawanan persahabatan dan bertolak ke Dublin pada 5 Jun untuk mengharungi misi sebenar iaitu Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019.
Jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharmaraj Abdullah mahu pemain menggunakan tujuh aksi perlawanan pemanas badan bagi membentuk tahap keserasian yang maksimum di atas padang namun tidak mahu mengambil risiko pemain mengalami masalah keletihan ketika beraksi di kejohanan utama mereka.
“Kami berangkat awal untuk melakukan persiapan dengan menyertai Kejohanan Tiga Penjuru antara Malaysia, Itali dan Sepanyol serta mengadakan perlawanan persahabatan di Scotland.
“Itali dan Sepanyol merupakan pasukan yang telah meningkat dan bukan calang-calang serta mereka mempunyai kualiti.
“Ia merupakan satu perhormatan buat kami apabila mereka mahu bermain dengan skuad negara selain ini juga satu petanda yang cukup baik.
“Keseluruhannya sebelum perlawanan sebenar kami akan bermain tujuh perlawanan sebagai persediaan dan seboleh-bolehnya saya mahu memberikan setiap pemain peluang untuk beraksi.
“Tetapi masa bermain mereka akan menjadi lebih singkat kerana ia bagi mengelakkan mereka daripada mengalami keletihan dan setiap pemain akan mendapat keseluruhan 30 minit masa bermain sepanjang sesi persediaan.
“Untuk saya sepanjang persediaan ini saya lebih mementingkan untuk membentuk keserasian antara pemain dan pada masa yang sama saya tidak mahu pemain keletihan apabila beraksi di kejohanan sebenar iaitu FIH Siri Akhir Wanita,” ujar Dharmaraj yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Rome Itali, awal pagi tadi.
Sementara bagi pemain yang telah lama bersama skuad kebangsaan dan menggalas tugas selaku kapten, Siti Noor Amarina Ruhani, dia percaya rakan-rakan sepasukannya yang telah melakukan segala persediaan untuk memberikan cabaran di FIH Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 mampu untuk melakukan kejutan walaupun ada yang beranggapan ia agak mustahil.
“Sebagai salah seorang pemain yang telah lama beraksi bersama skuad kebangsaan, pastinya melangkah ke Sukan Olimpik menjadi impian saya dan kami telah banyak kali cuba untuk melangkah ke Sukan Olimpik.
“Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi dengan rakan-rakan sepasukan dan walaupun ia kelihatan seperti misi mustahil tetapi saya percaya kami mungkin mampu untuk mencipta sesuatu.
“Kami telah melakukan persediaan yang cukup baik untuk ke kejohanan kali ini dan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan,” jelas Amarina.
Malaysia akan turun untuk aksi sulung bertemu Sepanyol di Kejohanan Tiga Penjuru pada 26 Mei, Ahad ini.