CAMO2018: Lee Ying Ying’s mature performance the highlight of Day 2
June 28, 2018CAMO2018: Evergreen Chong Wei to face young gun Momota in final
June 30, 2018Skuad hoki wanita negara berjaya membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri di pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 (Wanita) apabila memastikan lima perlawanan bagi aksi round robin disudahkan dengan cemerlang tanpa sebarang kekalahan dan terbaru pertemuan kelima dengan Singapura yang berlangsung di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura disudahkan dengan kemenangan 5-0.Malaysian Tigress yang mengumpul 15 mata penuh telah meledak 45 gol dalam lima perlawanan dengan 29 gol padang sementara 16 gol menerusi pukulan sudut penalti. Bagi pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah jumlah jaringan bukanlah keutamaannya kerana apa yang penting adalah memberikan peluang kepada pemain-pemain yang lebih muda untuk beraksi bagi memastikan mereka berjaya mendapatkan pengalaman yang berguna dan membantu mereka untuk menjadi pemain yang lebih hebat.
“Apa yang penting kami menjaringkan gol menerusi gol padang serta pukulan sudut penalti terus kerana keutamaan saya adalah menjaringkan pukulan sudut penalti terus daripada melakukan set-pieces.
“Kami boleh menjaringkan gol yang lebih banyak kerana mempunyai pemain-pemain yang cukup berpengalaman tetapi kami memilih untuk memberikan masa beraksi yang lebih kepada pemain-pemain muda dan pastinya pengalaman ini akan membantu mereka untuk meningkat menjadi pemain yang lebih hebat.
“Bagi aksi dengan Singapura saya boleh katakan mereka bertahan dengan baik dan untuk setiap peluang pukulan sudut penalti hari ini pemain mengambilnya secara terus selain itu waktu beraksi di atas padang lebih banyak diberikan kepada pemain yang lebih muda,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.
Sementara itu bagi perlawanan akhir yang menyaksikan skuad negara akan sekali lagi berentap dengan Thailand pada Ahad ini, Dharmaraj meletakkan misi untuk muncul juara selain percaya perlawanan yang sengit pasti akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.
“Untuk final kami akan berjumpa Thailand apa yang boleh saya katakan perlawanan pastinya sengit dan situasi tidak dapat menyempurnakan peluang yang terhidang dengan sebaiknya adalah perkara yang membimbangkan saya.
“Bagaimanapun misi utama kami pastinya untuk muncul selaku juara,” tambahnya lagi.
Skuad negara melengkapkan perlawanan kelima dengan kemenangan 5-0 hasil jaringan padang Nur Zafirah Aziz (m’1), Wan Norfaiezah Md Saiuti (m’6), Nur Amirah Shakirah Zulkifli (m’30), Fatin Shafika Md Shukri (m’56) serta gol pukulan sudut penalti menerusi Nuraini Abd Rashid (m’58).