KHM Umum Pemain Ke Kelayakan Sukan Olimpik Remaja B-18 (Asia) 2018
April 20, 2018Kumar Kembali Ke Pangkuan Malaysian Tigers
April 23, 2018KUALA LUMPUR (22 APRIL 2018) : MSSPP-PSHA muncul selaku juara divisyen dua, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 selepas cemerlang menewaskan MBMB Warriors 3-0 pada penentuan shoot-out apabila perlawanan 60 minit berkesudahan tanpa sebarang jaringan pada aksi akhir yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Kecemerlangan Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad, Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah dan Muhamad Faris Harizan menyempurnakan pukulan shoot-out menjulang MSSPP-PSHA selaku juara dan ekoran perlawanan diheret sehingga ke penentuan shoot-out, wang kemenangan akan dikongsi oleh kedua-dua pasukan dimana setiap pasukan membawa pulang RM6,500.
Aksi final yang berlangsung menyaksikan seawal suku pertama kedua-dua pasukan menampilkan saingan sengit selain corak permainan laju dan MBMB Warriors mempunyai beberapa peluang keemasan untuk mencetak gol awal namun buntu untuk melakukan penyudahan yang terbaik.
Memasuki suku kedua, MSSPP-PSHA hampir membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Solehuddin Yuzaidi yang berjaya melepasi pertahanan MBMB Warriors namun percubaan mencari sudut kanan pintu gol lawan terkena tiang gol dan terselamat gawang MBMB Warriors.
Beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, MBMB Warriors hampir memecah kebuntuan gol menerusi Muhammad Afif Azfar Salim namun percubaannya melewati palang gol lawan untuk aksi separuh masa pertama berkesudahan seri tanpa sebarang jaringan.
Serangan bertali arus terus dilancarkan oleh kedua-dua pasukan pada suku ketiga dan keempat. MSSPP-PSHA dilihat lebih banyak memasuki kawasan gol MBMB Warriors untuk melakukan percubaan namun masih gagal menemui penyudahan yang sempurna dan perlawanan diheret hingga ke penentuan shoot-out bagi menentukan pemenang.
Dalam pada itu, pertemuan bagi penentuan kedudukan tempat ketiga dan keempat yang menemukan KL Vipers MSSM KL dan Anderson PHA menyaksikan KL Vipers MSSM KL berjaya memastikan kedudukan tempat ketiga menjadi milik mereka selepas cemerlang untuk bangkit daripada ketinggalan.
Anderson PHA mengejutkan KL Vipers MSSM KL menerusi jaringan awal yang diledak oleh Iqbalnafis Rostam pada minit ketiga selepas bijak untuk menggunakan ruang yang dimiliki.
Sedang perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan cuba untuk terus memburu jaringan, keadaan cuaca yang buruk menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-42.
Perlawanan kembali disambung selepas 30 minit terhenti dan hujan yang turun membawa kejayaan pada KL Vipers MSSM KL apabila minit ke-49 menerusi gerakan padang selain bijak menggunakan situasi kelam kabut dihadapan pintu gol lawan, Mohammad Shafiq Abdullah menjaringkan gol penyamaan buat KL Vipers MSSM KL.
Seakan perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Shafiq Abdullah muncul wira buat KL Vipers MSSM KL apabila menjaringkan gol kemenangan sekali lagi menerusi gerakan padang beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan dan keputusan 2-1 kekal memihak KL Vipers MSSM KL untuk memuktamatkan kedudukan tempat ketiga.
Keputusan hari ini (22. April 2018)
KL Vipers MSSM KL 2 Anderson PHA 1
MSSPP-PSHA 0 MBMB Warriors 0
** MSSPP-PSHA muncul juara menerusi shoot-out, 3-0
Anugerah
Juara: MSSPP-PSHA
Naib Juara: MBMB Warriors
Tempat ketiga: KL Vipers MSSM KL