Kepong, Puchong United to headline SSPL 2017/18 Final
February 10, 2018Piala TNB 2018: Unikl Rangkul Gelaran Pertama
February 10, 2018GENTING HIGHLANDS (10 Februari 2018): Biarpun pasukannya dilabelkan sebagai pasukan bukan pilihan menjelang aksi final SS Purple League (SSPL) 2017/18 di Arena Of Stars esok, namun Ketua jurulatih Kelab Badminton (KB) Kepong, Mohd Zakry Abdul Latif memiliki strategi tersendiri untuk menyekat lawan mereka, KB Puchong United. Sedar mereka bakal berhadapan cabaran getir daripada KB Puchong United yang memiliki nama-nama besar seperti Chou Tien Chen, Tan Kian Meng, Goh Liu Ying, Shevon Jemie Lai, Lai Pei Jing, Liew Daren dan ramai lagi bintang dalam pasukan, namun Zakry tetap tenang dan percaya pada kemampuan yang dimiliki pemainnya.
Zakry berkata, “Apa yang diketengahkan untuk pasukan adalah bermain seperti biasa dan tidak perlu tertekan kerana tiada apa yang merugikan pasukan kita. Itulah yang berjaya diterapkan dalam dua perlawanan peringkat akhir SSPL sebelum ini dan nampaknya ia membuahkan hasil.
“Sebenarnya, saya rasakan yang situasi di atas gelanggang lebih memainkan peranan penting. Tidak semestinya memiliki ramai pemain ranking tinggi memberikan kelebihan besar, sebaliknya pemain yang mampu mengawal gelanggang dengan baik dan memiliki keyakinan tinggi semasa beraksi, itu lebih penting,” katanya ketika ditemui semalam.
Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan itu juga sekali lagi menaruh harapan tinggi kepada pemain perseorangan lelaki utama pasukannya, Dey Subhankar untuk terus melakar kejutan di aksi final.
Dia berkata, “Bagi pasukan KB Kepong, pemain perseorangan utama kami (Dey Subhankar) memainkan peranan penting kerana dia membuatkan rakan-rakan lain yang beraksi selepas itu berasa lebih bersemangat melalui cara permainan yang ditunjukkannya dalam setiap perlawanan. Pemain yang dikalahkannya dalam peringkat akhir bukanlah calang-calang tetapi pemain seperti Lee Hyun Il dan Tommy Sugiarto,” ujar Zakry.
“Mengenai KB Puchong United, mereka adalah satu pasukan yang kuat. Bukan mudah untuk menewaskan mereka kalau dilihat dari segi barisan pemain yang dimiliki mereka. Apapun, saya tetap berharap pemain KB Kepong mampu melakukan kejutan sekali lagi seperti mana dilakukan ke atas KB Petaling (playoff) dan KB Cheras di separuh akhir semalam,” tambah Zakry.
KB Kepong yang diletakkan sebagai pasukan underdog selepas sekadar mengakhiri pusingan round robin di kedudukan kelima, berjaya mencipta kejutan demi kejutan di peringkat terakhir SSPL sehingga mara ke final. Mereka mengatasi pasukan KB Petaling 11-8 di peringkat playoff sebelum sekali lagi mengejutkan pasukan bimbingan Rashid Sidek, KB Cheras 10-4 dalam aksi separuh akhir semalam.
Sementara itu, aksi penentuan tempat ke-5/6 yang berlangsung sebentar tadi dimenangi oleh pasukan bimbingan Yap Kim Hock, KB Petaling. Mereka menang 10-7 mengatasi KB Ampang Jaya sekaligus mengekalkan kedudukan kelima sama seperti dalam saingan SSPL musim lalu.
Keputusan SS Purple League 2017/18 (10 Februari 2018)
Penentuan tempat ke-5/6:
KB Ampang Jaya kalah kepada KB Petaling 7-10
MS1: Tan Jia Wei kalah kepada Tanongsak Saensomboosuk 1-3 (9-11, 6-11, 11-5, 5-11)
WS: Xu Wei kalah kepada Zhang Beiwen 2-3 (7-11, 5-11, 11-4, 11-4, 8-11)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail kalahkan Ian Wong Jien Sern-Soh Wooi Yik 3-0 (11-7, 11-3, 11-8)
XD: Chan Peng Soon-Wong Kha Yan kalah kepada Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 0-3 (2-11, 9-11, 5-11)
MS2: Yan Runze seri dengan Kenichi Tago 1-1 (8-11, 11-6 Retired)
Jadual Perlawanan SS Purple League 2017/18 Esok: (11 Februari 2018)
(12pm) Penentuan ke-3/4: KB Petaling Jaya BC lwn KB Cheras
(4pm) Final: KB Puchong United BC lwn KB Kepong
*Venue, Arena Of Stars, Resorts World Genting.