SSPL : Ampang Jaya BC Banking On Import Players
February 3, 2017THT kekal pendahulu liga, KLHC terus mencabar
February 3, 2017KUALA LUMPUR (3 Februari, 2017): Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya berharap kehadiran dua muka baru semasa jendela perpindahan SS Purple Leaague (SSPL) dapat membantu kelab itu mara lebih jauh dalam pusingan kalah mati musim ini.
KB Ampang Jaya yang menghuni tangga kelima semasa pusingan round robin SSPL membawa masuk pemain dari India dan Vietnam bagi memperkuatkan pasukan itu.
Jurulatihnya, Ho Khek Mong berkata, “Untuk peringkat kalah mati Purple League di Genting Highlands nanti, kita masih dalam persiapan dengan memperbaiki kelemahan pasukan ketika ini seperti dalam perseorangan lelaki.
“Sebab itulah, semasa jendela perpindahan yang dibuka baru-baru ini pasukan telah mendapatkan dua pemain import baru masing-masing dari India dan Vietnam untuk memperkuatkan pasukan. Mereka adalah Ajay Jayaram dan juga Nguyen Tien Minh,” kata Khek Mong.
Mengulas pertemuan dengan menentang KB Puchong United di peringkat kalah mati nanti, Khek Mong berkata, “Saya rasakan peluang adalah 50-50 di mana mereka mempunyai kekuatan di dalam pemain perseorangan manakala kami tetap yakin pemain beregu kami seperti Lukhi Nugroho dan Muhammad Syawal akan menyumbang mata buat pasukan.
“Sebab itulah saya membawa masuk pemain perseorangan lelaki kerana kami ingin mencuri mata dari acara itu sambil mengharapkan pemain beregu konsisten dalam mendapatkan kemenangan kepada pasukan. Apapun saya mengharapkan persembahan terbaik nanti daripada pemain untuk membantu pasukan KB Ampang Jaya layak ke final SSPL,” ujar Khek Mong ketika dihubungi.
Menurut jurulatih itu juga, kehadiran pemain importnya bukan sahaja penting untuk saingan SSPL malahan mereka juga berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain junior kelab itu.
Khek Mong berkata, “Mereka akan hadir semiggu sebelum pusingan kalah mati bermula di mana mereka juga akan berlatih bersama pemain-pemain junior kelab ini. Jadi kami yakin dengan kehadiran pemain-pemain luar ini, ianya akan memberikan satu pendedahan berguna kepada pemain muda untuk menjadi pemain berkualiti untuk kelab ini pada masa depan,” tambah Khek Mong.
Dalam saingan SSPL musim lalu, KB Ampang Jaya menduduki tempat ketujuh. Gelaran juara musim lepas dirangkul oleh KB Muar City, KB Petaling Jaya muncul naib johan manakala tempat ketiga pula menjadi milik KB Puchong United.
Pada edisi kali ini, enam pasukan yang telah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati. Pasukan tersebut adalah KB Muar, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya, dan KB Petaling
Mereka akan membuat perhitungan dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Resorts World Genting bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh.