
Malaysia Ke Final Selepas Atasi Itali
January 21, 2017
Impressive TNB climb to third
January 22, 2017
Kuala Lumpur (22 Januari 2017): Impian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memburu kemenangan kelima berturut-turut lebur apabila tewas 2-0 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Pantai, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan UniKL kehilangan kedudukan pendahulu kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang dipisahkan dengan pasukan tangga kedua KLHC berdasarkan perbezaan gol.
Beraksi di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka, THT tidak berdepan masalah menewaskan Maybank selaku tuan rumah 3-0.
Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj nyata kecewa dengan kekalahan anak buahnya.
“Memang kecewa untuk tewas aksi pertama tetapi apa yang lebih menyedihkan saya adalah kami tewas dalam perlawanan lebih banyak dikuasai kami dan melepaskan banyak peluang terhidang.
“Penyudah kami amat lemah dan apa yang merugikan tiga pukulan sudut penalti disia-siakan kami pada aksi hari ini,” katanya.
Pada masa sama, Arul mengakui pasukannya terpaksa membayar harga yang mahal ekoran kesilapan melepaskan dua gol yang mudah.
“Walaupun kita bermain bagus hari ini dengan Marhan (Jalil) dan Rafizul (Ezry) begitu menyerlah tetapi dua kesilapan mudah yang pertama menghadiahkan pukulan penalti dan kedua tidak melakukan bentesan dengan betul membunuh kita,” katanya.
Sementara itu, pengendali KLHC Harun Rashid Al Samri berkata pujian perlu diberikan kepada pemainnya kerana berjaya menyerap asakan lawan meskipun beraksi dengan kekurangan pemain.
“Saya gembira dengan usaha keras ditunjukkan pemain walaupun hanya turun dengan 16 pemain. Ia disebabkan dua pemain kami tidak boleh beraksi iaitu Izad Hakimi Jamaluddin kerana penggantungan satu perlawanan manakala Joel Van Huizen tidak sihat.”
UniKL sebelum ini mencatat empat kemenangan berturut-turut dan mendahului liga dengan 12 mata sementara KLHC di kedudukan ketiga dengan 10 mata gara-gara kehilangan mata ketika terikat 2-2 dengan THT pada aksi pertama.
Pada aksi itu, dua gol KLHC dijaringkan Faeez Ibrahim pada minit ke -34 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Haziq Samsul menggandakan kedudukan itu pada minit ke-43.
UniKL seterusnya akan berdepan THT di Kuala Terengganu pada Rabu ini manakala KLHC pula membuat perhitungan dengan TNB.
Keputusan Liga Premier TNBMHL
(22 Januari 2017)
Maybank 0 THT 3
TNB Thunderbolts 3 SSTMI 0
KLHC 2 UniKL 0
TNB 4 UiTM-KPT 0