
Tigress roar against Hong Kong
January 14, 2017
TNB Thunderbolts remain upbeat despite defeat
January 15, 2017
KUALA LUMPUR (15 Januari 2017): Pasukan TNB Thunderbolts tetap meraih pengalaman berharga meskipun mereka tewas 1-6 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam saingan Liga Premier TNBMHL 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai sebentar tadi.
Jurulatihnya, Nor Saiful Zaini menganggap perlawanan dalam TNBMHL adalah satu platform kepada skuad mudanya yang rata-rata dibarisi pemain berusia 16-17 tahun ini untuk mendapatkan pendedahan berguna. Dia berkata, “Kita dalam proses pembelajaran kerana mereka berhadapan dengan pemain berpengalaman seperti pemain kebangsaan dan juga pemain import dalam saingan ini.
“Mereka (pemain Thunderbolts) kosong dan tidak ada pengalaman. Jadi kita pastinya berharap pengalaman yang diraih mereka dari satu perlawanan ke satu perlawanan itulah paling penting dan menjadi keutamaan bagi mereka kerana mereka adalah pasukan projek 2020,” ujar Saiful selepas perlawanan.
KLHC memperoleh gol pertama menerusi gol padang Meor Muhammad Azuan pada minit ke-14. Tidak sampai seminit selepas itu, Muhammad Azri Hassan terus melebarkan kedudukan KLHC apabila menyumbat masuk gol kedua juga menerusi gol padang.
Sebelum separuh masa pertama berakhir, Muhammad Rashid Baharom terus mengukuhkan kedudukan KLHC apabila menghasilkan gol ketiga pasukannya menerusi gol padang menewaskan penjaga gol muda TNB Thunderbolts, Hairi Abdul Rahman pada minit ke-28.
Selepas itu, KLHC terus menambah jaringan keempat pada separuh masa kedua menerusi gol padang Dedy Aryadi pada minit ke-39. Pada minit ke-52, giliran Ahmad Kazamirul pula menyudahkan pukulan sudut penalti untuk gol kelima pasukan KLHC.
TNB Thunderbolts bagaimanapun memperoleh gol sulung melalui Muhammad Akhimullah Anuar yang menolak masuk kencang gol padang pada minit ke-60.
Apapun, KLHC sekali lagi mendapat gol keenam pada minit-minit terakhir perlawanan melalui gol padang Mohd Syamim Yusof sekaligus melengkapkan kemenangan 6-1 pasukannya ke atas TNB Thunderbolts.
Dalam satu lagi perlawanan sebelah petang di venue sama, UniKL mengatasi TNB 1-0 hasil gol padang Faridzul Afiq pada minit ke-49. Kemenangan itu sekaligus merupakan kemenangan kedua berturut-turut pasukan itu musim ini.
Bagi jurulatih UniKL, Arul Selvaraj dia berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi akur kehebatan S. Kumar di pintu gol TNB menafikan jumlah jaringan pasukannya pada hari ini.
Arul berkata, “Kemenangan ini adalah begitu bermakna namun saya agak kecewa kerana kita gagal menyudahkan banyak peluang yang terhidang terutama pada separuh masa pertama dan penghujung babak permainan.
“Dari segi permainan, saya amat gembira dengan pemain kerana mereka memberikan komitmen yang tinggi dan persefahaman di bahagian serangan juga semakin meningkat,” ujarnya selepas perlawanan.
Dua lagi perlawanan berkesudahan THT berkenduri gol menumpaskan UITM 9-0 dan Maybank pula mengatasi SSTMI dengan keputusan 4-0.
KEPUTUSAN PENUH LIGA PREMIER TNBMHL 2017 HARI INI:
THT 9-0 UITM
Firhan Ashaari minit ke-5 (GP), 59 (GP)
Nicolas Enrique minit ke-12 (GP), 23 (GP)
Faizal Ashaari minit ke-26 (GP), 34(GP), 43(GP)
Ismail Abu minit ke-37(GP), 54(GP)
Maybank 4-0 SSTMI
Jang Yoon Hyuk minit ke-9(PK)
Hafifihafiz Hanafi minit ke-22(GP)
Nam Hyun Woo minit ke-37, 53 (PK)
UniKL 1-0 TNB
Faridzul Afiq minit ke-49(GP)
KLHC 6-1 TNB THUNDERBOLTS
Meor Muhamad Azuan minit ke-14 (GP)
Muhammad Azri Hassan minit ke-14 (GP)
Muhammad Rashid Baharom minit ke- 28 (GP)
Dedy Aryadi Jumaidi minit ke-39 (GP)
Ahmad Kazamirul Nasruddin minit ke-52 (PK)
Muhammad Akhimullah pada minit-ke 60 (GP) (TNB THUNDERBOLTS)
Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-60 (GP)