Mas Huzaimah, Nurul Shafiqa among 18 picked
January 12, 2017Lee Ying Ying Maturing into a Star
January 13, 2017KUALA LUMPUR (13 Januari, 2017): Pemain muda negara, Lee Ying Ying yang beraksi cukup cemerlang dalam saingan liga round robin SS Purple League (SSPL) baru-baru ini tekad untuk terus memberikan aksi terbaik dalam arena badminton selepas ini.
Lee Ying Ying yang bermain dalam perseorangan wanita adalah pemain yang menjadi kunci utama pasukannya, Kelab Badminton (KB) Bangsar Hawks memburu mata kemenangan. Dalam sembilan perlawanan yang dilaluinya, dia berjaya menang tujuh perlawanan, seri menentang Goh Jin Wei dan hanya kalah sekali iaitu kepada Rusydina Antardayu.
Menurut pemain berusia 19 tahun itu, antara sebab dia beraksi cemerlang dalam SSPL adalah kerana dia sentiasa memberikan aksi maksimum dalam setiap perlawanan.
Lee Ying Ying berkata, “Saya beraksi dengan bagus sebab saya tahu pasukan saya bukanlah pasukan yang kuat. Jadi saya rasa saya perlu mencari mata maksimum untuk pasukan saya. Lagipun format 11 mata dan 30 minit memerlukan permainan yang pantas dan agresif, jadi saya beri sehabis baik dalam setiap perlawanan untuk menang,” ujar Lee Ying Ying.
Bagi pemain itu lagi, biarpun pasukannya tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam pasukan terbaik tetapi keberanian mereka menurunkan pemain muda memberikan pengalaman yang berharga kepadanya dan juga rakan sepasukan lain.
Pemain itu berkata, “Walaupun pasukan KB Bangsar Hawks tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam Purple League tapi sebenarnya pengurusan tidak memberi tekanan kepada pemain, mereka lebih memberikan peluang buat pemain muda mendapat pengalaman dalam saingan Purple League. Jadi pastinya ia sesuatu yang baik untuk pemain muda mendapat keyakinan selepas ini.
“Ada rakan sepasukan yang berasal dari China, Indonesia dan Singapura jadi satu pendedahan yang begitu baik sepanjang saya mewakili KB Bangsar Hawks kali ini,” ujar pemain itu yang berasal dari Ipoh.
Dia yang menjadikan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai idola itu turut menyimpan harapan tinggi untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 tetapi mahu fokus untuk terpilih ke Sukan SEA terlebih dahulu tahun ini.
“Saya mahu bermain dalam Sukan SEA tahun ini dan berharap terpilih mewakili Malaysia dalam perseorangan wanita dalam kejohanan yang akan berlangsung di negara kita sendiri. Selain itu, saya juga pastinya mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 nanti,” katanya yang pernah meraih gelaran naib juara Kejuaraan Badminton Remaja Dunia 2015.
Selepas tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh. Undian pasukan yang beraksi di peringkat kalah mati akan diadakan hari Rabu ini di Pearl International Hotel, Kuala Lumpur.