
Charity Shield: KLHC prevail in shootout over THT
January 13, 2017
Malaysian Tigress mula dengan langkah kanan
January 14, 2017
Kuala Lumpur (13 Januari 2017): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.
Kejayaan pasukan gergasi itu diperoleh selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat perlawanan sebenar.
Awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan cuba untuk mencari gol pendahuluan dengan KLHC mengejutkan tuan rumah terlebih dulu menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Muhammad Noor Faeez Ibrahim minit ke-31.
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas penyerang sensasi Faizal Saari menyamakan kedudukan untuk THT minit ke-34 hasil jaringan padang.
Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk meraih gol sehinggalah pada minit ke-51 tonggak import Umar Bhutta kembali meletakkan KLHC di depan.
Namun kelebihan satu gol tidak bertahan lama selepas tonggak import yang juga pakar pukulan sudut penalti Jang Jonghyun menyamakan kedudukan untuk THT minit ke-56.
Penentuan pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 tamat perlawanan sebenar.
Pada aksi hari ini yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Burok, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberikan sejumlah sumbangan kepada Rumah Kasih Harmoni.
Sementara itu di Stadium Hoki Pantai, TNB bermula garang selepas menewaskan ‘adik’ mereka TNB Thunderbolts 6-1.
Skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim bagaimanapun bermula perlahan apabila hanya mampu menjaringkan satu gol di awal perlawanan iaitu menerusi jaringan padang Muhammad Ramadan Rosli minit ke-8.
Mereka kemudian meraih empat gol berturut-turut menerusi Norsyafiq Sumantri m-36 Azril Misron (m-37 & 38) serta Muhammad Aminudin Mohd Zin (m-39).
Shahril Saabah melengkapkan kemenangan TNB dengan gol keenam minit terakhier perlawanan.
“Bagi saya perlawanan pertama sememangnya agak bergelut.
“Ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh pemain. Mungkin juga mereka memandang rendah pihak lawan.
“Apapun saya tetap gembira dengan keputusan ini dan kami sudah bersedia untuk turun perlawanan kedua bertemu UniKL Ahad ini,” kata Amin.
Dua lagi perlawanan menyaksikan UiTM KPT tewas 2-3 kepada Maybank sementara UniKL membelasah SSTMI 5-0.
Liga Premier
Keputusan
KLHC 2 THT 2
(KLHC menang penalti 6-5)
TNB 6 TNB Thunderbolts 1
UiTM-KPT 2 Maybank 3
UniKL 5 SSTMI 0