KLHC aim to be back at full throttle
January 11, 2017Anticipation Running High for Stage 2
January 12, 2017KUALA LUMPUR (12 Januari, 2017): Kelab Badminton (KB) Muar tidak kisah siapa lawan yang mereka bakal temui di peringkat separuh akhir SS Purple League (SSPL) musim ini sebaliknya mahu fokus untuk mencari kejuaraan ketiga berturut-turut dalam kejohanan ini.
Selepas undian semalam, pasukan yang dahulunya dikenali sebagai KB Muar City ini diundi untuk bertemu sama ada Kelab Badminton (KB) Puchong United ataupun KB Ampang Jaya di peringkat separuh akhir SSPL yang akan berlangsung Februari depan.
Dalam aksi peringkat liga round robin lalu, KB Muar beraksi cemerlang sekaligus menjadi juara peringkat liga dan secara automatiknya layak ke separuh akhir SSPL.
Jurulatih KB Muar, Nova Armada ketika dihubungi berkata, dia tidak kisah bertemu mana-mana pasukan tetapi lebih merasakan yang KB Puchong United bakal menjadi lawan mereka di separuh akhir nanti.
Nova berkata, “Bagi saya, besar kemungkinan saya rasakan kita akan berjumpa KB Puchong United di separuh akhir nanti. Mereka memiliki ramai pemain-pemain tempatan yang bagus, di tambah pula jendela perpindahan pemain SSPL kembali dibuka jadi sudah tentu mereka akan mendapatkan pemain-pemain berkualiti.
“Bagi KB Muar, kita juga sedang mencari pemain baru untuk memantapkan pasukan. Kami sedang mengintai pemain beregu dari Korea Selatan, apapun akan ditentukan sedikit masa lagi,” ujar jurulatih yang telah tiga musim bersama pasukan dari Johor ini.
Walaupun sudah layak automatik ke separuh akhir, KB Muar tetap merendah diri dan menganggap semua pasukan mempunyai peluang yang sama rata untuk layak ke final. Namun, jurulatih itu tetap menyimpan harapan pasukannya akan mengecapi hatrik musim ini.
Dia berkata, “Bagi kami, separuh akhir nanti bukanlah sesuatu yang mudah untuk ke final. Apapun, kami berharap KB Muar akan memberikan aksi terbaik seterusnya mengulangi pencapaian seperti yang dilakukan pada dua musim berturut-turut sebelum ini,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.
Dalam satu lagi undian, KB Bandar Utama Dragons yang juga layak secara automatik ke separuh akhir apabila menduduki tempat kedua liga dijadualkan akan bertemu dengan KB Petaling atau KB Petaling Jaya nanti.
Peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh. Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.
Jadual penuh SSPL 2016/17 Peringkat Kalah Mati
Undian Pasukan Enam Teratas
9 Februari 2017 (Khamis)
(4pm) KB Puchong United lwn KB Ampang Jaya
(8pm) KB Petaling lwn KB Petaling Jaya
10 Februari 2017 (Jumaat)
(4pm) Saparuh akhir #1: KB Muar lwn Puchong United /KB Ampang Jaya
(8pm) Separuh akhir #2: KB BU Dragons lwn KB Petaling /KB Petaling Jaya
12 Februari 2017 (Ahad)
(2pm) Final
Undian Empat Pasukan Terbawah Liga:
9 Februari 2017 (Khamis)
(12pm) KB Kepong lwn KB Klang City
10 Februari 2017 (Jumaat)
(12pm) KB Serdang lwn KB Bangsar Hawks
12 Februari 2017 (Ahad)
(10am) KB Kepong /KB Klang City lwn KB Serdang /KB Bangsar Hawks