Bangsar Hawks Served up Shocker
December 30, 2016Bragging Rights for Petaling BC
December 30, 2016KUALA LUMPUR (30 Disember, 2016): Kelab Badminton (KB) Bangsar Hawks yang belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini akhirnya berjaya mencipta kejutan ke atas KB Ampang Jaya dalam perlawanan kelima liga sebentar tadi.
Menghuni tangga kedua tercorot SSPL sebelum perlawanan bermula, KB Bangsar Hawks mengatasi KB Ampang Jaya dalam kategori perseorangan wanita, beregu lelaki, dan beregu campuran seterusnya memenangi perlawanan dengan keputusan 11-10 dalam aksi penuh sengit di Cyberjaya.
Dalam perseorangan lelaki pertama, wakil KB Ampang Jaya iaitu Suppanyu Avihingsanon dari Thailand berjaya memberikan mata kemenangan kepada pasukannya. Dia yang berhadapan pemain KB Bangsar Hawks, Wan Chia Hsin menang 11-9, 11-9, 11-4 (3-0) ke atas lawannya itu.
Pemain perseorangan wanita KB Bangsar Hawks, Lee Ying Ying berjaya membantu pasukannya merapatkan kedudukan pungutan mata selepas itu apabila mencatatkan kemenangan 6-11, 11-7, 10-11, 11-6, 1-0 (3-2) ke atas pemain KB Ampang Jaya, Ho Yen Mei dalam masa 30 minit.
Gandingan beregu lelaki KB Bangsar Hawks, Irfan Fadhilah/ Loh Kean Hean terus melakukan kejutan selepas itu. Mereka menundukkan gandingan KB Ampang Jaya, Lukhi Nugroho/ Muhammad Syawal 11-6, 10-11, 11-5, 11-9 (3-1) sekaligus terus memungut mata penting buat pasukan KB Bangsar Hawks dalam perlawanan ini.
Joyce Choong/ Pei Tian Yi terus garang untuk mengejutkan gandingan Ampang Jaya, Anna Cheong/ Kim Astrup dalam kategori beregu campuran. Mereka menang 11-7, 8-11, 11-10, 11-6 (3-1) menjadikan mata keseluruhan KB Bangsar Hawks mendahului 9-7.
Biarpun pemain KB Bangsar Hawks dari China, Du Yu Hang yang turun beraksi dalam perseorangan lelaki terakhir tewas 5-11, 5-11, 11-7, 11-6, 4-11 (2-3) kepada wakil KB Ampang Jaya, Lee Cheuk Yiu namun ia tidak menghalang pasukannya untuk mencatatkan kemenangan sulung dalam kempen SSPL musim ini.
Ketua jurulatih KB Bangsar Hawks, Ong Ewe Chai yang juga merupakan bekas pemain negara memuji persembahan bertenaga pasukannya hari ini. Dia berkata, “Pemain saya bermain sangat bagus hari ini.
Kita juga tidak menjangkakan pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying berjaya menang mengatasi Ho Yen Mei dalam aksi yang mendebarkan tadi.
“Apapun, kita tidak terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi tapi akan mencuba terbaik dalam setiap perlawanan selepas ini. Kami lebih mengutamakan pendedahan kepada pemain muda dalam saingan kali ini,” ujar jurulatih berasal dari Pulau Pinang itu.
Sebelum itu, pada aksi semalam menyaksikan KB Muar berjaya mengatasi KB Kepong 12-6 sekaligus terus mengukuhkan kedudukan untuk bersaing ke peringkat kalah mati pada bulan Februari nanti.
Saingan peringkat liga round robin SSPL sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras pada 2 hingga 8 Januari. Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands. Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.
Keputusan SSPL 2016/17 (30 Disember 2016)
(4pm) KB Bangsar Hawks kalahkan KB Ampang Jaya 11-10
MS2: Wan Chia Hsin kalah kepada Suppanyu Avihingsanon 0-3 (9-11, 9-11, 4-11)
WS: Lee Ying Ying kalahkan Ho Yen Mei 3-2 (6-11, 11-7, 10-11, 11-6, 1-0)
MD: Irfan Fadhilah-Loh Kean Hean kalahkan Lukhi Nugroho-Muhammad Syawal 3-1 (11-6, 10-11, 11-5, 11-9)
XD: Joyce Choong-Pei Tian Yi kalahkan Anna Cheong-Kim Astrup 3-1 (11-7, 8-11, 11-10, 11-6)
MS1: Du Yu Hang kalah kepada Lee Cheuk Yiu 2-3 (5-11, 5-11, 11-7, 11-6, 4-11)
Keputusan SSPL 2016/17 Semalam (29 Disember 2016)
(8pm) KB Muar kalahkan KB Kepong 12-6
MS2: Zulfadli Zulkiffli seri denganLim Chi Wing 2-2 (6-11, 11-8, 11-7, 3-6)
WS: Saena Kawakami seri dengan Ongbamrungphan Busanan 2-2 (11-10, 7-11, 11-8, 0-1)
MD: Teo Ee Yi-Teo Kok Siang seri dengan Rasmussen Anders-Tan Chee Tean 2-2 (11-9, 5-11, 8-11, 7-6)
XD: Ardiansyah Putra-Vitamarissa kalahkan Chayanit Chaladchalam-Mohd Razif Ab Latif 3-0 (11-7, 11-10, 11-5)
MS1: Lee Hyun Il kalahkan Thongnuam Pannawit 3-0 (11-8, 11-3, 11-7)