Perak, PSM A tentu juara Divisyen 1
December 17, 2016Thunder, Panthers advanced to the final
December 17, 2016Serdang (17 Disember, 2016): Kuala Lumpur Thunder memeranjatkan pasukan pilihan, Terengganu Turtles 21-14, 21-14 dalam masa sejam aksi separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor hari ini.
Thunder (tekong Farid Aziz, perejam Hafiz Rahman/Zamree Dahan dan pengumpan Amirul Zazwan Amir) membuktikan saingan kalah singkir bukan lagi seperti peringkat awal liga yang pernah dikuasai Turtles (Zulkifli Razak/Izurin Refin, Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim) tanpa kalah bagi 11 perlawanan berturut-turut.
Kekalahan di depan lebih 3,000 hadirin stadium ini hanya meninggalkan satu lagi peluang untuk merebut sagu hati RM10,000 kepada Turtles bimbingan Vitthaya Boontha dari Thailand pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat (RM5,000) esok.
Perak The Bos Gaurus pula muncul pasukan pertama yang dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 apabila mudah menundukkan Selangor 21-9, 21-13 dalam separuh akhir Divisyen Satu STL terdahulu.
Aksi pembuka tirai peringkat kalah singkir ini yang berakhir dalam tempoh 55 minit ini jauh meleset daripada harapan ramai peminat malah tidak lagi sesengit pertemuan peringkat awal liga mereka, 12 November lalu yang dimenangi Perak, 21-17, 19-21, 21-19.
Namun Bos Gaurus yang memenangi pertemuan awal itu kali ini terus berterima kasih kepada tekong mudanya yang berusia 20 tahun, Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin dengan servis berbisanya yang meraih banyak mata mudah dan segera untuk mara ke final, esok.
Mengapitnya di kiri dan kanan ialah Fadzil Mustafa dan Shohibul Fadillah Salam manakala Selangor memanfaatkan kelima-lima pemain yang disenaraikan – Noor Azman Hamid/Ahmad Sufi Hashim, Shafirul Nizam Zainal/Najib Rahman dan Farhan Adam.
Perak yang mendapat sokongan padu penyokongnya yang datang beramai-ramai dengan beberapa bas kini akan membuat perhitungan muktamad siapa juara divisyen ini dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.
Regu kebangsaan itu (Idham Sulaiman/Said Ezwan Said De, Ridaudin Ghani/Noraizat Nordin dan Safarudin Abu Bakar) memenangi pertarungan sengit 90 minit dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 13-21, 21-18, 25-23.
Dua kad kuning yang turut dikenakan pengadil terhadap Safarudin dan Idham dalam set penentuan kerana melengahkan permainan tidak menghalang PSM A untuk menjinakkan Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib.
Namun baki slot ke Divisyen Perdana masih perlu disahkan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini antara Selangor dengan PDRM kerana PSM A hanya beraksi sebagai pendedahan ke arah Sukan SEA Malaysia 2017.
Kata jurulatih Bos Gaurus, Ismi Hissan Ismail,”memang hari ini kami berjaya mendahului jauh lawan dengan servis Meor apabila dia menyumbangkan 12 mata mudah (tujuh dalam set pertama dan lima, set kedua.
“Mungkin Selangor kurang menjadi melalui tekongnya, Azman (Man Kuda) yang saya rasa terjejas akibat lontaran bola apit kanan, (Shafirul/Najib),” katanya yang berterima kasih kepada sokongan padu kerajaan negeri.
“Kami bukan sengaja melengahkan permainan cuma pemain perlu berbincang bagi mendapatkan strategi terbaik pada saat perlawanan yang segenting set penentuan itu, terikat mata penamat beberapa kali.
“Perak berprestasi baik hari ini dapat tumpaskan Selangor dengan mudah tetapi kami juga harapkan bergelar juara divisyen ini dan jangkakan pertemuan esok sehebat peringkat awal liga yang kami menangi dengan tiga set,” kata jurulatih PSM A, Mohd. Rashidi Nordin.
KEPUTUSAN:
Sabtu (17 Disember 2016):
Pusingan Separuh Akhir STL Divisyen 1:
Perak Bos Gaurus kalahkan Selangor (21-9, 21-13)
PSM A kalahkan PDRM (13-21, 21-18, 25-23)
Pusingan Separuh Akhir Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) 2016:
Kuala Lumpur Thunder kalahkan Terengganu Turtles (21-14, 21-14)
JADUAL:
Tempat Ke-3 STL Divisyen 1:
Selangor lwn PDRM (4pm)
Pusingan akhir STL Division 1:
Perak Bos Gaurus lwn PSM A (8pm)
* Serdang Jaya Municipal Council Stadium, Selangor