Thunderbolt Cup – BJSS and Anderson triumph
November 3, 2016SSTMI, BJSS on a high in Thunderbolts Cup
November 4, 2016Bandar Penawar (3 Nov, 2016): Juara Piala Remaja TNB 2016, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Anderson bermula langkah kanan apabila masing-masing berjaya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama Piala TNB Thunderbolts yang berlangsung di Stadium Hoki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, hari ini.
Pasukan Thunderbolts SSBJ itu berjaya menewaskan pasukan Thunderbolts Sekolah Sukan Pahang 4-0 sementara Thunderbolts Anderson pula merakamkan kemenangan 3-0 ke atas skuad Singapura yang rata-ratanya dibarisi pemain di bawah umur 16 tahun.
Mohamed Adam Daniel membuka jaringan untuk SSBJ pada minit ke-11 melalui gol padang dan Muhammad Khairuddin Zulkifli menambah jaringan dua minit kemudian juga menerusi gol padang. Sebelum separuh masa pertama tamat, Muhammad Ramdan Ariffin menambah gol ketiga SSBJ melalui pukulan sudut penalti. Selepas itu, Md Zulrasyad Hilmie melengkapkan kemenangan SSBJ menerusi gol keempat pada minit ke-38 sekaligus membolehkan pasukannya menang 4-0.
“Ramai pemain senior kami tidak dapat beraksi kerana menghadapi peperiksaan SPM dan kami mengambil peluang untuk membawa pemain B-16 bagi memberikan mereka pengalaman dalam saingan ini,” kata jurulatih skuad Thunderbolt Sekolah Sukan Pahang, Mohd Sufian Muhammad.
“Ianya satu permainan yang baik daripada pemain-pemain muda dan mereka mempamerkan satu persefahaman yang bagus walaupun berdepan pasukan yang lebih berusia serta berpengalaman,” tambah jurulatih itu lagi.
Sementara dalam satu lagi perlawanan, Sekolah Sukan Anderson yang juga merupakan salah sebuah sekolah perintis Program Thunderbolts menang apabila pemain, Hazrul Hazraf berjaya menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-37 dan satu lagi gol padang pada minit ke-38.
“Sepatutnya pasukan ini akan bertanding dalam Kejohanan Piala Asia B-18 tetapi memandangkan masa dan tarikh di Dhaka yang berlangung serentak dengan peperiksaan pada Oktober, kami pemain tidak dapat menyertainya,” kata Jurulatih pasukan pembangunan Singapura, Mohamed Farhan yang juga merupakan pemain Sukan SEA pada 2015.
“Pemain saya hanya bermain bersama sejak beberapa bulan lalu dan ini adalah kejohanan besar pertama mereka menentang pasukan kuat seperti pasukan Program Thunderbolts. Saya percaya mereka akan bangkit dalam perlawanan selepas ini kerana sudah belajar dari kesilapan,” tambah Farhan.
Bekas pemain Malaysia, K. Rajan yang merupakan jurulatih pasukan senior kebangsaan Singapura turut berada di venue bagi memerhatikan permainan pasukan pembangunan negara itu.
Berlangsung serentak dengan Piala Sultan Johor, kejohanan Piala Thunderbolts diadakan dari 3-6 November 2016. Objektif utama penganjuran kejohanan selama empat hari ini adalah sebagai persediaan awal TNB untuk mencungkil bakat-bakat muda berbakat.
Selain empat pasukan pembangunan di bawah Program Thunderbolts iaitu SSBJ, SSTMI, Anderson dan Sekolah Sukan Pahang yang menyertai kejohanan ini, empat lagi pasukan ialah Sekolah Sukan Sabah, Sekolah Sukan Johor, Selangor dan pasukan Pembangunan Singapura.
Jadual esok (4 November, 2016): SSTMI lwn Singapura (skuad pembangunan)(7.30am); Anderson lwn Sekolah Sukan Johor(8.30am); Sekolah Sukan lwn Selangor (9.30am); SSBJ v Sekolah Sukan Sabah (10.30am).