Thunderbolts Cup in search of talents
November 2, 2016Thunderbolt Cup – BJSS and Anderson triumph
November 3, 2016KUALA LUMPUR (2 November, 2016): Selepas menyaksikan permainan menarik “Malaysia Tigers” dalam saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan baru-baru ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan lagi cetusan-cetusan program mereka untuk generasi masa hadapan sukan hoki negara.
Pasukan Malaysia telah menduduki tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia untuk kali keempat sejak ia mula dianjurkan di Ordos, China pada tahun 2011. Antara nama-nama pemain hasil program Thunderbolt yang beraksi untuk Malaysia adalah Shahril Saabah, Firhan Ashari, serta pemain adik-beradik iaitu Faizal Saari dan Fitri Saari.
TNB Liga Hoki Remaja Malaysia adalah antara kejohanan untuk pemain-pemain muda menyerlahkan bakat mereka dan menimba pengalaman berguna dalam sukan hoki.
Jadi sebagai persediaan menghadapi TNB Liga Hoki Remaja Malaysia pada tahun hadapan, Piala Thunderbolts yang julung kalinya diadakan bakal menyaksikan pertembungan lapan pasukan iaitu empat pasukan perintis program Thunderbolt serta empat pasukan jemputan bakal beraksi.
Empat pasukan jemputan yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan ini adalah Sekolah Sukan Sabah, Sekolah Sukan Terengganu, pasukan Selangor dan juga pasukan Singapura. Pasukan-pasukan ini dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang untuk memperagakan permainan menarik nanti.
Kejohanan ini sebenarnya adalah ibarat saingan sama seperti Liga Hoki Remaja kerana kesemua format dan peraturan adalah mengikut kejohanan yang menyaksikan empat pasukan Thunderbolt menduduki empat tempat teratas dalam saingan lalu.
Berlangsung serentak dengan Piala Sultan Johor 2016, edisi pertama Piala Thunderbolts itu akan diadakan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dari 3-6 November ini.
Objektif utama dan idea kejohanan selama empat hari ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pasukan pembangunan TNB serta mencari bakat baru untuk kejohanan akan datang.
Jurulatih hoki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Lokman Yahaya yang mengalu-alukan kejohanan ini berkata, “Kami akan menggunakan kejohanan ini untuk mencuba dan mengenalpasti beberapa pemain untuk Liga Hoki Remaja nanti.
“Memandangkan ramai pemain kami yang sedang sibuk dengan peperiksaan, kami tidak mempunyai persediaan rapi serta latihan untuk kejohanan ini. Kami akan menggunakan kejohanan ini untuk meningkatkan kecergasan dan mencuba taktik baru dalam misi untuk mempertahan gelaran (Liga Remaja),” tambah Lokman.
Sementara itu, jurulatih SSTMI, Wan Roslan Wan Abdul Rahman, turut memandang positif penganjuran kejohanan ini.
“Pembangunan sukan hoki sangat kompetitif pada masa ini dan kita menjangkakan saingan TNB Liga Hoki Remaja akan lebih mencabar berbanding edisi lalu. Jadi Piala Thunderbolts adalah sebagai satu persediaan dalam memantapkan lagi persediaan pasukan.
“Objektif utama kami adalah terus bekerja keras dengan pemain muda yang sedia ada dan memupuk mereka untuk menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang. Kami juga akan terus bekerjasama dan belajar dari Program Thunderbolt demi masa depan sukan hoki negara,”ujarnya.
Pasukan-pasukan yang bakal beraksi dalam Piala Thunderbolts akan didedahkan ilmu tambahan seperti kelas teori hoki, sesi analisis video dan teknik hoki moden.