
Jang hits brace as THT bag triple double
September 25, 2016
QNET title sponsor for Asian Champions Trophy 2016
October 4, 2016
Kuala Lumpur (25 September 2015): Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengekalkan status elit mereka apabila berjaya menjulang Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut.
Kejayaan itu dilakar selepas skuad bimbingan Sarjit Singh menewaskan Sapura 3-0 pada aksi final hari ini sekali gus menyaksikan mereka berjaya meraih kejuaraan berganda untuk tahun ketiga berturut-turut selepas sebelum ini sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Premier.
Tonggak senior negara yang juga bekas pemain kebangsaan Azlan Misron berkata, kejayaan itu cukup bermakna untuk THT.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap pemain.
“Kami memang mahu fokus untuk memenangi piala ini sekali gus mempertahankannya.
“Walaupun pada awal saingan liga kami agak bergelut, tetapi pemain mula bangkit selepas itu.
“Akhirnya inilah hasilnya iaitu kami berjaya mempertahankan kejuaraan liga dan Piala TNB.
“Pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana bermain dengan cukup baik hari ini,” katanya.
Dengan kejayaan itu, THT berjaya membawa pulang RM100,000 sementara Sapura RM60,000.
THT bermula baik apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-2 tetapi ia gagal disempurnakan dengan baik.
Sapura pula memperoleh pukulan sudut penalti seminit kemudian, namun seperti THT mereka juga tidak memanfaatkan peluang itu.
THT akhirnya di depan pada minit ke-6 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jang Jong Hyun.
Suku kedua menyaksikan THT terus menyerang dan memperoleh gol kedua menerusi jaringan padang Nicolas Enrique Della Torre minit ke-22.
Bersambung babak kedua menyaksikan THT terus mendominasi perlawanan dengan Faizal Saari hampir menambah gol ketiga minit ke-36 tetapi tolakannya terkena tiang gol.
Sapura dilihat lebih agresif selepas itu, tetapi mereka masih buntu untuk mencari gol bagi merapatkan jurang.
Jonghyun menambah gol kedua peribadi sekali gus ketiga untuk THT selepas menguis masuk hasil pukulan sudut penalti minit ke-51.